Di bawah adalah aduan Puan Madhavi Rai yang tidak berpuas hati dengan kakitangan dan polisi syarikat penyiaran televisyen swasta, Astro, yang didakwanya bersifatkan perkauman sehingga tidak membenarkan beliau melanggan perkhidmatan Astro hanya kerana enggan memilih pembayaran secara auto debit.
Aduan yang dimuat naik di Facebooknya jam 1.14 petang semalam, telah dikongsi lebih dari 600 kali yang mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
ADUAN
Selepas berpindah dari Kuala Lumpur, saya dan suami tidak pernah melanggan Astro kerana kami tidak banyak menghabiskan masa di rumah dan tiada masa untuk menonton televisyen. Lagipun kami ada Hypp TV (TM Unifi).
Baru-baru ini, saya dan suami tergerak hati nak melanggan Astro semula memandangkan suami rindu pula nak tonton siaran sukan di rumah.
Isnin, 3 Julai 2017, saya hantar permohonan langganan Astro secara online di laman web rasmi Astro dan buka akaun Astro yang baru. Keesokan harinya, saya menerima panggilan dari Astro yang memaklumkan Astro telah menerima permohonan saya untuk membuka akaun baru.
Kakitangan Astro itu kemudian menerangkan kepada saya beberapa pakej yang saya boleh pilih jika saya mahu melanggan perkhidmatan Astro.
Jadi, di sini bermulanya perkara yang tidak sepatutnya berlaku ketika proses pendaftaran.
Kakitangan Astro itu menjelaskan, memandangkan saya berbangsa India (berdasarkan nama saya), Astro mempunyai polisi untuk pelanggannya berbangsa India dan warga asing untuk mendaftar bayaran bulan secara auto debit. (Tiada pilihan cara pembayaran yang lain).
Saya terkedu seketika. Perbualannya seperti di bawah:
Saya: "Baik, saya akan pertimbangkan dulu.Tetapi saya bukan India mahupun warga asing. Jadi, adakah ini bermaksud saya boleh buat keputusan untuk buat bayaran bulanan mengikut pilihan yang saya mahukan, bukan?"
Astro: "Tetapi nama yang tertera dalam borang permohonan adalah Madhavi Rai, yang bermaksud awak berbangsa India, betul?"
Saya: "Bukan. Ibu bapa saya berlainan bangsa (Malaysian Nepali + Malaysian Chinese) dan saya adalah warganegara Malaysia juga."
Astro: "Okay. Kalau begitu, saya letak awak sebagai cina dan nanti awak boleh pilihan pembayaran awak nanti."
Saya: "Tetapi kenapa Astro ada peraturan seperti ini?"
Astro: "Saya tahu ia kedengaran seperti rasis tetapi ia bukanlah seperti apa yang disangkakan. Astro.. err..."
Saya dapat rasakan yang dia tidak begitu selesa kerana dari cara percakapan dalam telefon menunjukkan dia juga mungkin berbangsa India.
5 Julai 2017, saya menerima panggilan dari Cik Devi (Astro) yang memaklumkan bahawa permohonan saya untuk melanggan Astro telah ditolak. Bila saya tanya apa sebabnya, jawapan ini yang dimaklumkan kepada saya.
Devi: "Ini kerana puan tidak memilih pembayaran secara auto debit. India dan warga asing mesti memilih pembayaran secara auto debit."
Saya: "Tetapi saya bukan India."
Devi: "Puan adalah 'lain-lain', kan? Jadi, puan dikategorikan sebagai warga asing."
Saya: "Saya bukan warga asing. Saya warganegara Malaysia!"
Devi: "Ye puan tetapi untuk makluman, puan dikategorikan sebagai lain-lain kerana puan bukan Cina atau Melayu atau India. Jadi puan adalah warga asing."
Saya: "Bagaimana awak boleh kata saya warga asing sedangkan saya lahir dan membesar di Malaysia? Adakah awak beritahu saya begitu kerana tiada pilihan bangsa dalam borang permohonan langgan Astro dan lantas awak labelkan saya sebagai warga asing?"
Devi: "Puan, saya tiada masa nak bertelagah dengan puan. Sama ada puan mahu melanggan Astro atau tidak, saya tak peduli."
Dia terus menamatkan panggilan.
Pandangan saya mengenai apa yang berlaku ini:
- Adalah amat memalukan Astro mengamalkan polisi sebegini terhadap rakyat Malaysia.
- Apabila seluruh dunia menolak dasar perkauman, sedih dan menjijikkan bila melihat syarikat gergasi (Astro dalam kes ini) masih mengamal polisi seperti ini.
- Astro sepatutnya memberikan latihan yang serius dan meningkatkan mutu perkhidmatan pegawai khidmat pelanggan mereka.
Sumber: Madhavi Rai
from The Reporter http://ift.tt/2sQmt9U
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2tSl02Q
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment