JOHOR BAHRU - Susulan viral gambar tiga beradik yang dikatakan ditinggalkan dalam keadaan yang tidak terurus dan bergelumang dengan najis, ibu bapanya tampil menafikan dakwaan itu.
Bapa kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Amran, 33, berkata kepada Harian Metro, pada hari kejadian, dia dan isterinya, Siti, 21, menghadiri latihan kerja di sebuah kilang di Gelang Patah.
Oleh kerana terpaksa menghadiri latihan itu, pasangan itu tiada pilihan lain untuk meninggalkan tiga anaknya yang terdiri dari seorang lelaki dan dua perempuan di bawah jagaan jirannya yang juga seorang suri rumah.
Anak bongsu iaitu bayi perempuan berusia 8 lapan pula ditinggalkan bersama pengasuh di Kampung Melayu Majidee.
"Kami meninggalkan anak kepada jiran yang dianggap sebagai kakak kerana dia dengan rela hati mahu menjaga mereka dan menyatakan ikhlas membantu.
"Kami menjalani latihan selama dua hari iaitu 2 dan 3 Ogos (Rabu dan Khamis) sebelum memulakan kerja sebagai operator kilang elektronik pada 4 Ogos.
"Isteri bekerja syif pagi, manakala saya syif malam dan kami bercadang bergilir-gilir menjaga anak," katanya.
Bagaimanapun pada hari kejadian, Amran dan isterinya terkejut apabila mendapati tiga anaknya tiada di rumah dan dimaklumkan oleh jiran bahawa anak-anak mereka telah diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Saya tidak sangka kejadian berlaku seperti ini sehingga viral di Facebook.
"Tidak benar anak hanya makan kerak nasi dan dicemari najis kerana isteri menyediakan nasi, telur goreng dan lauk kicap.
"Anak sulung kami bijak menguruskan adik-adiknya termasuk membersihkan mereka jika membuang air dan tidak mungkin ada najis di bilik sewa kami," katanya.
Ekoran kejadian itu, pasangan berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Larkin pada hari yang sama.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, pihaknya akan membuat laporan berhubung kes tiga beradik yang ditinggalkan ibu bapa mereka di bilik sewa itu berdasarkan kandungan yang viral di media sosial.
"Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 3 Akta Kanak-Kanak. Namun setakat ini tiada laporan dibuat mengenainya.
"Memang kita ada undang-undang membabitkan perkara berkaitan sensitiviti kanak-kanak selain tidak berkompromi mengenainya," katanya.
Pada 4 Ogos lalu, Julian Abd Razak memuat naik gambar tiga beradik berkenaan yang didakwanya ditinggalkan dalam keadaan tidak terurus dan bergelumang dengan najis.
Perkongsian gambar-gambar dan status kejadian itu viral di media sosial dan mendapat perhatian banyak pihak sebelum diselamatkan oleh pihak JKM pada hari yang sama.
Individu yang sama juga mendakwa kejadian itu bukan kali pertama berlaku.
from The Reporter http://ift.tt/2vaZ8hf
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2fkkPrn
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment