Lapor Harian Metro, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ramzi itu berkata, pada malam 2 Ogos, dia memaklumkan kepada isteri yang dia mahu menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Kelantan bersama dengan rakannya. Bagaimanapun, Ramzi sebenarnya mahu keluar makan malam bersama bakal isteri keduanya.
Malangnya, Ramzi tidak menyangka isterinya yang berusia 56 itu dapat menghidu pembohongannya itu, lalu dia ditetak menggunakan pisau pemotong sayur di kepala, dahi dan lengan pada jam 1 pagi, 3 Ogos.
"Saya serik menipu isteri. Kini saya berjanji saya tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu dan berharap isteri memaafkan saya.
"Saya berkahwin dengan isteri sejak 33 tahun lalu dia merupakan seorang isteri yang baik sehingga sanggup membenarkan saya kahwin lagi," katanya yang juga mengakui menyesal menipu isterinya.
"Saya menyesal kerana menipu isteri sedangkan dia seorang wanita yang amat baik dan kini saya sudah melukakan hatinya. Saya kecewa dan berharap dia memaafkan saya.
"Apabila difikirkan semula, saya pun tidak tahu mengapa sanggup melakukan perbuatan bodoh itu sedangkan isteri sudah memberi keizinan untuk berkahwin lagi.
"Dua minggu sebelum kejadian itu, kami ada berbincang dan isteri beri keizinan saya berkahwin lagi. Dia reda jika saya sudah nekad, namun silap saya kerana menipu dia ketika keluar menemui bakal isteri berusia 40-an.
"Isteri tidak boleh menerima kenyataan saya memberitahunya keluar menonton perlawanan bola sepak, sedangkan dia tahu saya menipunya untuk keluar menemui bakal isteri kedua.
"Memang silap saya tidak bersikap jujur dengan isteri. Saya akui itu dan jadikan kejadian ini sebagai pengajaran paling berguna terutama apabila sudah berpoligami kelak," katanya.
Difahamkan, persiapan untuk kahwin lagi telah dilakukan. Malah enam orang anak Ramzi berusia 18 hingga 29 tahun juga turut memberi keizinan bapa mereka berkahwin dengan ibu tunggal anak dua yang berasal dari Thailand itu.
"Bagaimanapun saya belum menetapkan tarikh dan tidak mahu tergesa-gesa kerana mahu menjaga hati isteri serta anak-anak dulu selepas apa yang berlaku.
"Saya akan memujuk isteri dan apa yang saya lalui adalah balasan kerana saya menipu dan selepas ini saya berharap hati isteri sejuk kerana paling penting saya mahu dia percayakan saya seperti tempoh kami bersama selama 33 tahun.
"Dia seorang isteri yang baik dan bertanggungjawab kepada saya serta anak-anak. Saya tahu hatinya terluka apabila saya menipunya. Justeru saya perlu beri masa untuk dia pulih. InshaAllah perancangan (berkahwin lagi) akan diteruskan nanti," katanya.
Dalam masa yang sama, Ramzi menjelaskan dia menerima 200 jahitan, bukannya 15 jahitan seperti yang dilaporkan media sebelum ini. Malah dia juga terpaksa menenangkan isterinya sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Manek Urai.
"Selepas ditetak, saya keluar rumah sehingga dia tenang. Kemudian saya memeluknya dan meletakkan di atas kerusi. Selepas dia reda dan bertenang, saya beritahu isteri yang saya mahu ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
"Saya memandu sendiri dan selepas itu tidur di rumah rakan selama dua hari supaya dapat memberi peluang kepada isteri menenangkan hatinya," katanya.
Dalam tempoh dua hari itu, Ramzi mengakui dia merindui isterinya dan selepas berbincang mereka saling bermaaf-maafan.
"Saya menganggp apa yang berlaku ada hikmah dan menasihatkan mana-mana suami yang mahu berpoligami bersikap jujur dengan isteri. Jangan menipu kerana ia hanya akan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk," katanya.
from The Reporter http://ift.tt/2hKhmTT
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2uFWzlr
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment