loading...

Thursday, 21 July 2022

(Video) 'Mungkin pada masa akan datang, subsidi elektrik tidak akan diberikan' - Menteri



Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang akan datang. 


Menteri KeTSA, Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan analisis Suruhanjaya Tenaga (ST), harga bahan api di pasaran global masih kekal tinggi, kesan dari krisis peperangan Rusia dan Ukraine sejak Mac lalu dan permintaan bahan api arang batu yang tinggi daripada negara luar. 


"Sekarang ini semua sama, (golongan) M40 (menerima rebat) dua sen setiap kilowatt jam (kWj), B40 dua sen dan T20 pun dua sen. Semua menikmati rebat dua sen ini dalam bekalan elektrik negara kita. 


"Tetapi masa akan datang mungkin diperlukan bersasar, mungkin T20 akan dikenakan surcaj atau ICPT ini," katanya di Dewan Rakyat semalam bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mengenai langkah KeTSA untuk melindungi rakyat yang sedang berhadapan dengan krisis tenaga global. 


24 Jun lalu, kerajaan bersetuju menampung subsidi elektrik berjumlah RM5.8 bilion bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022 walaupun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api di pasaran global sebagai langkah mitigasi jangka pendek berdepan krisis tenaga  global. 


Walau bagaimanapun, pemberian subsidi itu bukanlah bersifat kekal dan mungkin akan ditamatkan pada masa akan datang. 


"Tetapi subsidi tidak akan selama-lamanya. Mungkin pada masa akan datang, subsidi tidak akan diberikan," katanya. 



Takiyuddin sebelum itu menunjukkan sekeping bil elektrik milik pengguna B40 yang hanya perlu membayar RM115.45 berbanding RM152.91 kerana kerajaan telah memberi subsidi sebanyak RM37.46 bersamaan 29 peratus. 


"Satu bil ini, bil semasanya berjumlah RM115.45. Ini bil saya jangka B40 lah. Kerajaan memberi subsidi sebanyak RM37.46, lebih kurang 29 peratus. Rakyat sepatutnya dalam kes ini, bil ini RM152.91, tapi dia bayar hanya RM115 sahaja dengan subsidi RM37.46. 


"Yang dibuat ini adalah untuk menyedarkan rakyat Malaysia betapa besarnya subsidi yang diberikan oleh kerajaan kita kepada rakyat dan dengan ini kita mengharapkan rakyat mengamalkan sikap jimatkan tenaga elektrik. 


"Agar negara kita ini tidak menghadapi krisis bekalan sama ada brownout atau blackout. Kita minta supaya tidak berlaku di negara kita," katanya.


Dalam pada itu, Takiyuddin juga mengatakan kadar subsidi yang dibayar oleh kerajaan bagi tarif penggunaan elektrik akan dipaparkan akaun bil pengguna bermula Ogos ini kerana rakyat perlu tahu bahawa Kerajaan ketika ini bukan sahaj apelru menanggung kos tambahan bagi penjanaan elektrik, tetapi masih mampu memberi rebat untuk mengurangkan bebanan pengguna. 


"Jadi, rakyat kena bersyukurlah. Elektrik ini hanya dibayar ikut keperluan penggunaannya sahaja. Kos elektrik ini sudah pun disubsidi oleh kerajaan," katanya. 


Sumber: Berita Harian, Samudera



from The Reporter https://ift.tt/YJ1nikR
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/4hLQYIu
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...