Foto sekadar hiasan sahaja | RASA |
Di kala ramai yang merungut harga barang naik dan menuduh kerajaan seolah-olah melepaskan tangan dalam usaha meringankan bebanan rakyat, seorang warga emas pula berfikiran sebaliknya.
Nordiah, 62, dari Seksyen 23 Shah Alam berkata, rakyat tidak sepatutnya bergantung kepada kerajaan, sebaliknya mengawal diri dari berbelanja melebihi keperluan atau tidak perlu.
"Jangan hanya minta kerajaan menurunkan harga barang, tetapi kita sebagai pengguna juga perlu kawal diri dan nafsu membeli," katanya.
Nordiah mengakui, dia juga terkesan tetapi cuba mencari jalan untuk mengawal dan menguruskan perbelanjaannya.
"Kalau dulu makan ayam, kini mungkin kena kurangkan. Jika dulu makan ikan tenggiri, sekarang boleh cari alternatif makan ikan lain. Sama juga seperti cili, guna ikut keperluan kerana setiap biji cili itu berharga.
"Penjimatan seharusnya bermula daripada diri kita sendiri, contohnya dengan kurangkan pembelian perabot misalnya atau bercuti saja dalam negara," katanya.
Seorang juruteknik berusia 40 tahun pula berpendapat, sebagai ketua keluarga dia perlu berjimat cermat dalam berbelanja dan mendahulukan keperluan berbanding kehendak.
Mohammed Firdaus Zakaria berkata, dalam masa sama dia juga dapat menyimpan wang untuk persediaan menghadapi perkara yang tidak dijangkakan.
"Jujurnya sangat terkesan dengan kenaikan harga barang kini terutama barangan lusuh, namun bukan sampai tidak dapat makan langsung.
"Cuma, saya sebagai ketua keluarga perlu mendahulukan pendapatan bulanan dengan membeli makanan dan keperluan anak-anak.
"Salah satu caranya adalah dengan kurangkan pembelian seperti pakaian dan tangguhkan dahulu kehendak membeli barangan bukan keperluan," katanya.
Bagi Mazliza Mali, 33, dia memilih untuk memasak dan makan di rumah untuk langkah berjimat cermat.
"Kebanyakan orang kini memang terkesan dengan kenaikan harga barang, sama juga seperti saya yang baru berkahwin dan tinggal menyewa.
"Adalah lebih baik jika kita cuba mengurangkan makan di luar dan beli barang keperluan serta masak di rumah. Saya sendiri masak setiap hari walaupun hidangan yang ringkas.
"Memandangkan harga kenaikan harga barang basah agak ketara, saya dan suami cuma kawal perbelanjaan dengan berbelanja sekali saja dalam dua minggu," katanya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/e5fs4O3
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/GmHTfV1
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment