loading...

Sunday, 1 November 2020

'Saya dah agak ada orang masuk rumah, bunuh anak saya' - Remaja maut dibunuh perompak di depan mata ibunya yang terlantar sakit


Seorang remaja perempuan ditemui mati dalam kejadian samun di kediamannya di Kampung Lubok Batu, Telemong, kira-kira jam 2.30 petang Ahad, 1 November 2020. 


Mangsa, Siti Nur Surya, 19, ditemui mati tertiarap di ruang tamu oleh adiknya, Siti Nur Syuhada Ismail, 15, yang baru sahaja pulang dari sekolah, dipercayai dibunuh.


Adik mangsa kemudian segera menghubungi abangnya, Mohd Zaid Azroi, 28, yang ketika itu sedang bekerja di Kampung Bukit Payong. 


"Adik dibunuh dengan kejam dan terdapat beberapa kesan tikaman yang dipercayai menggunakan senjata tajam, di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri. 


"Ketika kejadian, hanya ibu sahaja yang ada di rumah. Ibu yang terlantar sakit hanya mampu melihat kerana dia menghidapi kanser otak," katanya. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzhuki Mohd Mokhtar mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. 


Mohd Marzhuki percaya, kejadian itu didalangi oleh seorang individu dan pihaknya mendapati kejadian itu berlaku pada jam 9 pagi dan barangan yang hilang membabitkan wang tunai. 


Sementara itu, Siti Nur Syuhada berkata, dia pada awalnya menyangka kakaknya terkena renjatan elektrik sebelum menyedari mangsa sudah tidak bernyawa. 


"Saya ingat kakak kena karan, saya terus telefon ayah," katanya. 


Sebelum pulang ke rumah, Siti Nur Syuhada menjelaskan, mangsa sepatutnya datang menjemput dia pulang dari sekolah. Ketiadaan kakaknya pada tengah hari itu membuatkan dia terus menghubungi telefon bimbit mangsa beberapa kali, tetapi panggilan tidak dijawab dan dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. 


"Rutin kakak menjemput saya pulang dari sekolah. Tetapi selepas mendapati kakak tidak ada di perkarangan sekolah, saya berasa hairan dan menghubunginya beberapa kali. Saya syak sesuatu berlaku selepas kakak tidak menjawab panggilan telefon dan segera berlari pulang ke rumah yang terletak lebih kurang satu kilometer. 


"Sebaik tiba di perkarangan rumah, saya lihat pintu terbuka dan segera masuk sebelum melihat kakak tertiarap di depan televisyen di ruang tamu dengan pergelangan tangan kirinya putus. Saya segera menghubungi bapa, Ismail Muda, 58, memberitahu kakak kena karan, pergelangan tangan kiri putus," katanya. 


Sementara itu, Ismail sudah menjangka anak perempuannya itu dibunuh sebaik saja dimaklumkan oleh Siti Nur Syuhada. Ketika dihubungi anaknya itu, dia sedang bekerja di Kampung Banggol Katong, Bukit Payong, kira-kira lima kilometer dari rumah. 


"Saya sudah agak ada orang masuk rumah dan bunuh anak saya. Saya agak kejadian ini berlaku sebaik anak lelaki saya keluar rumah untuk kembali ke tempat kerja kira-kira jam 8.30 pagi," katanya. 


Menurut Ismail, dia menganggarkan kejadian itu berlaku sebelum jam 10 pagi. Ini berikutan bubur nasi yang dibeli anaknya tidak terusik dan lampin pakai buang basah (isterinya), bermakna belum ditukar. 


Anak lelakinya, Mohd Zaid Azroi, pada kebiasaannya akan pulang ke rumah menghantar bubur nasi pada jam 8 pagi dan keluar semula ke tempat kerja setelah selesai bersarapan.


Ismail percaya, Siti Nur Surya bergelut dengan perompak sebelum dibunuh di depan isterinya yang terlantar di katil hanya mampu melihat kejadian itu. 


Wang perbelanjaan harian sebanyak RM400 dan wang milik mangsa RM2,000 serta dua telefon bimbitnya yang disimpan dalam beg tangan, hilang. Wang RM2,000 itu adalah wang yang dikumpul setelah diberi oleh bapanya RM100 setiap sebulan sebagai saguhati menjaga ibunya yang terlantar. 


Ismail tidak mengetahui siapa yang melakukan kejadian itu sehingga meragut nyawa anaknya dan berserah kepada pihak polis untuk melakukan siasatan. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/324ovD5
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2TJhSBt
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...