loading...

Friday, 20 November 2020

Tangan bayi 7 hari putus digigit anjing, pemilik didenda RM1,000


Mahkamah Majistret Ayer Keroh semalam menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada pemilik anjing yang menyebabkan tangan kanan bayi perempuan putus akibat digigit anjing peliharaannya dalam kejadian September lalu. 


Majistret Mazana Sinin, menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Gan Tiong Guey, 41, mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah. 


Berdasarkan pertuduhan, Gan didapati cuai meninggalkan anjing miliknya sehingga menyebabkan tangan kanan anak saudaranya yang berusia tujuh hari putus pada jam 9 pagi, di Taman Widuri, Bachang, 8 September 2020. 


Gan didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Terdahulu, peguamnya, Amritpal Singh merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana Gan perlu menanggung lima anak berusia sembilan hingga 20 tahun, selain ibu bayi berkenaan juga enggan memanjangkan kes tersebut. 


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kecederaan cacat kekal yang dialami oleh mangsa dan sebagai pengajaran kepada orang ramai. 


Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM1,000. Jika gagal membayar denda itu, tertuduh akan dipenjara selama dua bulan. 


Sementara itu dalam prosiding berasingan, isteri tertuduh, Heng Chiew Lian, 39, turut didakwa atas pertuduhan mengabaikan atau mendedahkan mangsa sama dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal. 


Heng didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000. Mahkamah menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes. 


Sumber: Harian Metro


LAPORAN BERKAITAN



from The Reporter https://ift.tt/330W8pF
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/3m3zZOY
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...