Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman antara tiga dan tujuh hari terhadap 23 individu termasuk anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membantu siasatan berhubung isu penyalahgunaan pengesahan cap di sempadan negara.
Selain sebuah bas, beberapa kereta juga digunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membawa mereka ke mahkamah sebagai langkah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 bagi prosiding reman berkenaan.
Seramai 19 lelaki dan empat wanita tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 10 pagi dengan berbaju jingga dan bergari serta memakai pelitup muka, turut diperiksa suhu sebelum dibenarkan masuk ke mahkamah.
Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin mengeluarkan perintah reman terhadap 23 individu yang berumur antara 21 dan 55 tahun itu selepas mendengar permohonan SPRM dalam prosiding yang berlarutan kira-kira dua jam setengah.
Dua belas daripada mereka direman selama tujuh hari, sembilan lagi direman lima hari manakala dua lagi individu masing-masing direman tiga serta empat hari.
Mereka dilihat meninggalkan kawasan mahkamah secara berperingkat dengan menaiki bas dan kereta dipandu pegawai SPRM antara 11 pagi dan 12.30 tengah hari.
Menurut sumber SPRM, 14 individu yang direman itu merupakan penjawat awam manakala selebihnya orang awam.
Difahamkan anggota Imigresen yang direman itu bertugas di Ibu Pejabat Imigresen di sini serta Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Sumber itu memaklumkan mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyalahgunaan pengesahan cap di sempadan khususnya di KLIA, klia2 dan Bangunan Sultan Ismail (BSI) Johor Bahru, Johor.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/32Rc1zd
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2K8w4lY
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment