Seorang peniaga nasi lemak dan kuih-muih maut manakala suaminya cedera parah selepas gerai mereka dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk dalam kejadian di Jalan Bertam Indah hari ini.
Orang ramai yang berada di lokasi kejadian mendakwa pemandu berkenaan berada dalam keadaan mabuk selain penemuan tin minuman keras di dalam kereta dipandunya.
Ketua Polis Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kemalangan kira-kira pukul 10 pagi itu, pasangan suami isteri berkenaan sedang berniaga sebelum sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara dari arah Bertam Indah menghala ke Paya Keladi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan sebelum merempuh gerai mangsa.
“Berikutan rempuhan itu, pasangan suami isteri berkenaan melambung sebelum tercampak kira-kira 10 meter di atas jalan raya dalam kawasan Taman Bertam Indah.
“Mangsa wanita, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) kira-kira pukul 12 tengah hari manakala suaminya Mat Subri Saad, 44, masih dirawat di hospital sama dan mengalami kecederaan parah di kepala serta tangan,” katanya di sini hari ini.
Noorzainy berkata, pemandu kereta Proton Iswara berusia 31 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan ujian awal mendapati lelaki itu bawah pengaruh alkohol. Ujian air kencing juga mendapati pemandu itu positif dadah jenis ganja, tiada lesen memandu dan kenderaannya tiada cukai jalan.
“Ujian darah lelaki itu juga telah diambil untuk pengesahan kandungan alkohol dalam badannya,” katanya.
Sumber: Bernama
from The Reporter http://bit.ly/2WIuIip
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://bit.ly/2KjihYJ
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment