loading...

Saturday, 12 March 2022

'Si adik tak nak berkongsi dadah, maut ditikam kembarnya sendiri'



Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menikam mati pasangan kembarnya di rumah sewa mereka di Kampung Seri Cheeding, Banting, Kuala Langat semalam.


Ketua Polis Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan selepas dia dibawa majikan si mati ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada pukul 10.45 malam.


Beliau berkata dalam kejadian semalam, polis menerima panggilan telefon daripada Hospital Banting yang memaklumkan telah menerima seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6.58 petang, yang dibawa oleh majikannya ke hospital berkenaan.


Katanya si mati yang bekerja sebagai pekerja kebun sayur pada mulanya telah menghubungi majikannya bagi meminta bantuan untuk ke hospital, setelah dipercayai ditikam oleh kembarnya dalam satu pergaduhan.


“Majikannya itu kemudiannya telah ke rumah mangsa dan mendapati pekerjanya itu terbaring tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran dengan rumahnya, dengan kesan darah pada baju, dan lelaki berkenaan masih bernyawa ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Ahmad Ridhwan berkata pekerja kebun yang mengalami kecederaan pada bahagian dada akibat tikaman senjata tajam itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting.


Beliau berkata siasatan mendapati pada pukul 4.30 petang semalam pasangan kembar itu bergaduh, dipercayai selepas si adik tidak mahu berkongsi dadah dipercayai syabu dengan abangnya, lalu dia dipercayai ditikam oleh abangnya itu dalam pergaduhan.


Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/LqHNpI3
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/Hu4i7bn
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...