"PUAN, saya rasa elok saya rujuk puan ke hospital. Puan ke hospital kerajaan atau swasta?"
"Sekejap ya doktor, saya tanya suami saya dahulu," katanya lalu mengeluarkan telefon bimbit dari tas tangan.
Kelihatan dia tekan-tekan sesuatu di telefonnya, dan kemudian tak semena-mena merendahkan tangan ke riba dan tertunduk menangis.
Aku jadi cemas.
Wanita, ni datang ke klinik dengan aduan demam 3 hari, makan tak lalu, pening kepala, dan mula muntah-muntah. Aku syak dia kena denggi dan perlukan rawatan segera kerana keadaannya agak membimbangkan.
"Kenapa ni puan?" soal aku.
Selepas tu dia cerita dengan lebih jelas situasi dia.
Suami dia ni kerja oil and gas, dan syarikat di bekerja tu berpusat di KL. Jadi, wanita dah biasalah tinggal di JB seorang diri. Semua dia buat sendiri, uruskan sendiri, memang seorang yang isteri yang boleh berdikari.
Cuma, ayah dia pesan padanya supaya apa-apa keputusan yang dia buat, dia eloklah beritahu atau minta izin suaminya dahulu. Ayah dia kata, kalau masing-masing buat keputusan sendiri, tinggal sendiri-sendiri, apa yang tinggal dalam pernikahan mereka berdua?
Jadi, wanita ini, sebagai anak dan isteri yang patuh, akan menelefon suaminya setiap kali dia membuat sesuatu keputusan. Sehari biasanya 5 kali dia telefon.
"Kenapa puan tiba-tiba menangis? Suami tak benarkan pergi hospital ke?" tanya aku.
Wanita tu mengesat air matanya dengan lengan baju dan dengan teresak-esak dia jawab "Suami saya dah tak ada, doktor."
Rupa-rupanya 2 hari lepas, semasa dalam perjalanan pulang ke JB, suaminya terlibat dalam kemalangan dan meninggal di tempat kejadian.
"Saya masih tak dapat yakinkan diri saya dia dah tak ada. Saya rasa macam dia masih ada." ujarnya lalu meletakkan telefonnya di atas meja, kemudian menekup muka dengan kedua-dua belah tangan.
"Bila saya lihat nama dia dalam telefon, baru saya teringat dia dah tak ada." ujarnya disebalik tekupan tangan di muka.
Aku jeling telefon dia di atas meja. Terpapar aturan buku telefon, dan nama yang dipilih adalah "Arwah Hubby". Aku tak pasti sama ada dia sengaja set nama suaminya dalam telefon dengan nama awalan Arwah atau bagaimana.
Aku tak tanya lanjut. Dalam keadaan begini, sukar untuk aku bertanya banyak soalan kerana bimbang ia akan menyakiti dia lebih lagi. Jadi aku terpaksa panggil waris yang mengiringi dia ke klinik.
Dia datang dengan ayahnya. Saya terangkan situasinya dan ayah wanita itu faham keadaan tersebut dan berhasrat bawa wanita itu ke hospital. Saya difahamkan, di rumah dia asyik menelefon nombor arwah suaminya dan bercakap seorang diri.
Selepas wanita itu keluar, aku terus menelefon isteri aku. Padahal aku nak makan burger yang dia tinggalkan untuk aku di dalam peti ais. Aku telefon dia untuk minta izin makan burger tu.
Aku telefon tu lebih kepada nak redakan hiba di hati aku sendiri. Betapa bertuahnya aku masih boleh telefon isteri aku. Masih boleh bercakap dengan dia. Dengar suaranya.
Hargailah pasangan kita ketika mereka masih ada. Bila buat apa-apa keputusan, berbincang. Bila nak buat sesuatu, minta izin. Kerana akan datang suatu hari, yang kita dah tak boleh buat itu semua.
Ketika itu, tinggallah kita sendiri untuk tentukan haluan kita.
Masih ada hiba bersisa di hati
from The Reporter https://ift.tt/2HP9iN3
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2Fqo9Ma
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment