loading...

Thursday, 21 March 2019

'Dulu niaga makanan jana 5 angka sebulan, tapi dek kesilapan diri aku jatuh terduduk'


Jatuh bangun terduduk sesebuah perniagaan itu bergantung pada disiplin seseorang peniaga itu. Jika mudah buta melihat duit yang banyak hasil dari keuntungan yang diperolehi, adalah baik anda berhati-hati dan jangan lakukan kesilapan seperti dilalui oleh saudara ini. 

Walaupun terpaksa bermula dari bawah semula, dia nekad untuk menjadikan kegagalan lalu sebagai pengajaran agar dia lebih berhati-hati di masa akan datang. Semoga menjadi contoh kepada mereka yang sedang atau bakal berniaga tak kira apa jua perniagaan sekalipun. 

HARI ini aku mula menjual makanan setelah hampir setengah tahun aku stop. Dulu masa menjual makanan di Kuala Lumpur, aku pernah menjana pendapatan lima angka sebulan. 

Tetapi aku gagal, rebah dan terduduk. Aku nak cerita sebab-sebab aku gagal, bukan sebab aku berjaya. 

Empat tahun lepas, aku ditawarkan sebuah kiosk keicl oleh kawan baik aku di sebuah universiti awam di Selangor. Aku tanpa berfikir panjang terus terima dan bermula dari situ dengan bermodalkan RM500 aku memulakan perniagaan dengan menyewa mesin waffle dan bahan mentah waffle. 

Bermula hari pertama, kiosk aku semakin mendapat sambutan. Aku mula menambah menu dari air, spaghetti, hotdog, chicken wing, karipap, aiskrim, fries, keropok dan banyak lagi aku pun tak berapa ingat. Aku mula tambah space kedai tanpa hitam putih, cuma atas kebenaran dari mulut ke mulut. 

Dari situ, sales kau dari hari ke hari semakin meningkat. Kalau hari-hari genting, zohor tu dah ada RM1,000 dalam laci. Kiralah kalau sampai jam 8.00 malam aku berniaga. RM500 itu kira sikitlah dapat sehari, itu pun hari Jumaat sebab tak ada kelas sangat. 

Aku budak kampung, tak pernah pegang duit banyak, tak pernah berniaga macam ni. Apa lagi? Gelap mata weh! Tak ada buku kira-kira, duit niaga, semua dalam poket. Tak pernah dimasukkan dalam bank. Apa yang ada dalam beg, itulah duit makan, duit rokok dan semuanya. 

Benda paling bodoh aku buat, tak sempat tutup kedai, selepas zohor aku dah pergi beli kasut vans dengan duit sales hari itu. Aku tak fikir pasal duit kedai, modal untung, saving bagai sebab aku yakin duit akan datang lagi dan aku terus hanyut serta lalai. 

Buku kira-kira ada sekejap saja. Buat sekejap, kemudian malas dan tak buat. Duit tak disimpan dalam bank, hitam putih kedai pun tak ada, disiplin out, boros. Apa yang aku tahu, aku dapat rolling modal niaga untuk esok saja. Yang lain, lantak sebab aku yakin aku selamanya akan senang macam tu. 

Aku terlalu selesa, aku bukan tak sedar apa yang aku buat itu tak betul, tapi sifat suka tangguh sampai bertahun. Mak membebel, kawan-kawan pesan, adik beradik bagi nasihat, semangat sekejap tapi selepas itu aku buat balik. Disiplin tak ada, istiqomah pun tak ada. 

So sem last itu, aku dah mula sedar untuk memperbetulkan hal itu. Aku pergi buat SSM, buat akuan niaga bank, buat hitam putih kedai tetapi akhirnya aku dah terlambat. Permohonan aku untuk berniaga telah ditolak atas hal yang salah aku sendiri. Sebab aku terlalu lama tangguh benda penting. 

Akhirnya aku rebah terduduk. Aku bawa diri aku ride seorang-seorang pergi utara selama seminggu. Aku tak beritahu keluarga, takut diorang kecewa. Aku buat permohonan kali kedua tetapi masih juga gagal. 

Aku hidup merempat, tak mampu bayar sewa bilik. Kawan aku bagi duduk dalam kontena dia tempat kilang perabut. Berbulan-bulan aku duduk di situ. Pagi kerja bungkus nasi, petang buat perabot. Seorang-seorang aku duduk kat atas bukit itu, tak fikir takut dah, asalkan ada tempat untuk berteduh. 

Akhirnya mak suruh balik sebab masa itu aku tak sihat. Aku balik kerja di kampung sampai sekarang dan hari ini aku memulakan benda yang aku minat iaitu berniaga makanan. 

Aku bukan nak buat cerita sedih, orang lain lagi sedih hidupnya. Aku cuma nak cerita bagaimana aku gagal dan sampai sekarang pun aku belum berjaya. Cuma aku dah sedar akan silap dan sedar diri. 

Kawan-kawan, kalau nak berniaga kena ada:

  • Hitam putih
  • Akaun bank
  • Dokumen berkaitan perniagaan kita
  • Catat semua duit keluar masuk, modal, untung, rugi semua
  • Disiplin
  • Berkat, jaga hubungan dengan manusia dan Tuhan
  • Jangan boros
  • Saving
  • Tahan dulu keinginan sekarang untuk mendapatkan keinginan lebih besar nanti

Banyak lagi. Selebihnya korang kena tanya pakar bisnes. Aku cuma senarikan perkara yang menyebabkan aku gagal. 

Hari ini hari pertama kau buka, rasa nak menangis. Aku penat buat persiapan dari pagi, sampai siap closing jam 2.00 pagi tadi. Tapi penat itu semua hilang bila kawan-kawan datang support. Nasi yang dijual semua habis. 


Aku hampir percaya dengan teori, jangan berkawan sangat. Tiba masa kawan-kawan akan tinggalkan kita. Alhamdulillah setakat ini kawan-kawan yang aku jumpa tak pernah tinggalkan aku. Malah mereka menolong time aku susah. Kalau diorang tak tolong sebab dia tak tahu. 

Itulah kisah aku dari pendapatan berpuluh ribu sebulan, jatuh terduduk dan bekerja bungkus nasi berlauk bergaji RM20 sehari. 

Doakan aku murah rezekiuntuk aku mampu bayar hutang kawan-kawan yang menolong aku. Hutang duit, hutang budi.



from The Reporter https://ift.tt/2UOY66s
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2Wjgx3N
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...