loading...

Thursday, 4 January 2018

'Pulangkan duit kami' - Pasangan rugi RM7,000 dakwa telah diperdaya kontraktor tidak bertanggungjawab


Hasrat pasangan ini berpindah ke rumah baru dengan dapur yang lengkap terbantut apabila kontraktor yang diupah untuk membina kabinet dapur rumah menghilangkan diri begitu sahaja. Lebih mengecewakan, mangsa mengalami kerugian RM7,000 ekoran sikap tidak bertanggungjawab pihak berkenaan. 

Difahamkan, syarikat 'halimunan' yang diusahakan pasangan suami isteri ini telah menipu ramai pelanggannya semenjak 2010 yang menyebabkan kerugian beratus ribu ringgit. Meskipun pernah ditahan sebelum ini, namun mereka tidak serik dan kembali melakukan kegiatan itu dan kini menyasarkan penduduk di Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) Putrajaya. 

Berikut adalah aduan dari mangsa yang mengalami kerugian RM7,000 diperdaya kontraktor terbabit: 

TUJUAN post ini dibuat bukan untuk membuka aib sesiapa, tapi sebab saya rasa perlu untuk dijadikan pengajaran kepada saya sendiri agar jangan mudah percayakan orang dan bagi mengelakkan orang lain diperbodohkan. 

Saya dengan rasa rendah hati meminta anda semua membantu saya dan kawan-kawan PPA1M Putrajaya Selasih, Palma dan Larai yang telah menjadi mangsa pasangan ini, viralkan masalah kami ini supaya boleh mengurangkan potensi orang lain terjerat dengan permainan mereka berdua.

Mereka melakukan aktiviti penipuan ini bukan baru sehari dua, tetapi sudah bertahun-tahun dan hanya sekali sahaja pernah berada dalam tahanan polis dengan ikat jamin. Jadi rasanya, mereka memang tak kisah dengan menjadikan tugas memperdaya orang sebagai kerja hakiki mencari rezeki. 

Saya mengenali mereka melalui perkongsian seorang rakan di dalam group WhatsApp komuniti PPA1M Selasih. Tawaran menyediakan kabinet dapur dengan harga yang mampu milik memang mudah menarik perhatian orang-orang yang sudah banyak berhabis duit untuk masuk ke rumah baru. 



Sebelum saya bersetuju menjalankan urusniaga dengan pasangan berkenaan, saya sempat membuat pencarian nama syarikat mereka di enjin carian Google bagi memastikan syarikat itu bersih dengan bebas dari sebarang masalah. Alhamdulillah pada masa itu, Facebook syarikat ini masih aktif. Mereka berdua yang merupakan pasangan suami isteri menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di bawah syarikat Home ID Builders Industries. 

Mereka turut berkongsi hasil-hasil kerja yang telah dilakukan di PPA1M Larai. Boleh tahan ramai juga yang mengambil khidmat syarikat mereka. Jadi saya bersetuju untuk mengambil perkhidmatan mereka dengan quotation RM13,000 - Kabinet dapur 3G glass dan dua buah wardrobe bersaiz lapan kaki dan tujuh kaki. 

Saya membuat bayaran pertama pada 28 Ogos 2017 dan sehingga ke hari ini saya telah membayar RM9,000. Namun yang disiapkan hanyalah tabletop sahaja. Saya membuat pembayaran mengikut peringkat dan saya dah bayar sampai peringkat startworks and production konon-konon kabinet saya sudah masuk kilang untuk disiapkan. Tetapi nak siapkan sebiji tabletop itu pun jenuh saya terpaksa telefon setiap hari. Tabletop belum mula kerja, tetapi mereka sudah meminta bayaran penuh. 

Saya dah mula rasa tak sedap hati dan saya Google nama penuh wanita berkenaan. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati syarikat ini sebenarnya tidak wujud di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). 



Modus operandi mereka adalah menipu mangsa dengan mengambil bayaran dalam jumlah yang banyak, dengan alasan untuk mempercepatkan proses tempahan. Seterusnya mereka akan meninggalkan kerja-kerja dan akhirnya terbengkalai begitu sahaja. 

Melalui pengumpulan maklumat di Google, aduan di balai polis, semakan di Tribunal dan bukti-bukti dari mangsa-mangsa terdahulu, mereka telah melakukan penganiayaan ini semenjak dari tahun 2010. Sebelum ini juga, mereka pernah menggunakan nama syarikat Wood Dimension Design Industries (2010) dan Kreatif Reka Interior (2014). 



Dalam kes saya ini, hanya tabletop sahaja yang siap. Mereka ada menghantar rak kosong untuk wardrobe saiz enam kaki dan dua buah rak dinding. Katanya tersalah hantar dan telah berjanji mahu mengambilnya semula. Tetapi benda-benda itu pun dah lama tidak diambil serta memakan ruang di rumah saya. 

Wanita terbabit sudah mula menghilangkan diri dan menyekat panggilan masuk. Sementara itu suaminya hanya akan menjawab panggilan telefon sesekali dan hanya menabur janji palsu untuk menyelesaikan kerja pengubahsuaian yang terbengkalai. 

Saya meminta mereka pulangkan duit saya sebab sudah letih dari segi mental dan emosi. Tetapi penipuan mereka masih berpanjangan dan sehingga ke hari ini satu sen pun mereka tak pulangkan. 

Bukan saya seorang sahaja yang menjadi mangsa penipuannya sehingga beberapa kali terpaksa menundakan perpindahan, tetapi ramai lagi penduduk PPA1M yang menjadi mangsa serta mengalami kerugian apabila terpaksa menunda perpindahan dan kerja-kerja terbengkalai di rumah. Lebih 15 buah rumah yang terbengkalai dan wang yang dilarikan oleh pasangan berkenaan bukan jumlah yang kecil. 


Pada saya, dengan taraf penduduk tetap yang disandang oleh si lelaki berkenaan, Kerajaan Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara perlu mempertimbangkan agar dia tidak diserap menjadi warganegara Malaysia. Jenayah komersial yang dilakukannya dengan memperdayakan orang selama bertahun-tahun ini perlu diambil tindakan. 

Kami menyeru anda semua membantu kami viralkan pasangan penipu ini agar orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan mereka dan juga berharap kami mendapat kembali wang kami. 

Sumber: Ros Syakimah


from The Reporter http://ift.tt/2qoEaMZ
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2lVYLE0
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...