Polis di Pakistan sedang memburu suspek lelaki yang merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun sebelum mayatnya dibuang ke dalam tong sampah, lapor Daily Mail.
Mangsa, Zainab Ansari, 7, kali terakhir dilihat meninggalkan kelas al-Quran di Kasur, Punjab dan gambar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia mengikut seorang lelaki yang tidak dikenali, 4 Januari lalu.
Zainab dilihat berjalan memegang tangan lelaki itu ke destinasi yang tidak diketahui, dipercayai diculik.
Ketika kejadian, Zainab tinggal bersama ibu saudaranya untuk sementara. Menyedari akan kehilangan Zainab, ibu saudaranya kemudian membuat laporan polis, malah mereka turut berusaha mendapatkan rakaman CCTV itu.
Pada 9 Januari, orang ramai menemui mayat mangsa di dalam tong sampah di tepi jalan Road Kot, sebelum menghubungi pihak polis.
Laporan bedah siasat mendapati, mangsa telah diperkosa sebelum dicekik sehingga mati sekurang-kurangnya lima hari sebelum mayatnya ditemui.
Kes pembunuhan itu menggemparkan rakyat Pakistan sehingga mencetuskan rusuhan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan siasatan polis. Orang ramai juga menyerang balai polis dan bangunan kerajaan sehingga menyebabkan dua orang terbunuh, sementara sejumlah lagi cedera.
Pegawai polis di Kasur, Zulfiqar Hameed, enggan mengesahkan dua orang awam yang mati itu akibat terkena tembakan polis.
Bapa mangsa, Ameen Ansari yang tiba di lapangan terbang Islamabad hari ini berkata, mereka tidak akan mengebumikan mayat anaknya sehingga pembunuhnya ditangkap, malah mendakwa polis tidak berusaha mencari anaknya semasa laporan kehilangan dibuat.
"Kami tidak akan mengebumikan Zainab sehingga pembunuhnya ditangkap. Polis bagaikan tidak berusaha mencari pembunuh anak saya. Jika mereka bertindak pantas, pasti suspek sudah ditangkap.
"Saudara-mara dan jiran ada beritahu polis datang, makan dan kemudian berlalu pergi. Selepas itu mereka tidak berbuat apa-apa. Rakan dan ahli keluarga saya yang berusaha siang dan malam mencari anak saya," katanya.
Orang ramai merusuh dan mendesak suspek ditangkap dan digantung di khalayak ramai. Peniaga tempatan juga menutup perniagaan mereka bagi memberi sokongan kepada ibu bapa mangsa. Malah beberapa artis tempatan juga turut menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap suspek.
Berdasarkan video rakaman CCTV, polis telah mengedarkan lakaran wajah suspek kepada orang ramai untuk membantu menangkap suspek.
Sumber: Daily Mail, Harian Metro
from The Reporter http://ift.tt/2msM9Vb
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2D4EsP5
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment