loading...

Friday, 6 October 2017

'Saya terkejut dan menggeletar tangan saya melihat keadaannya ketika itu' - Jiran


KUALA LUMPUR - "Saya curiga mendengar bunyi seolah-olah besi bergesel beberapa kali dari rumah jiran. Pada mulanya saya tidak mengendahkannya, mungkin memikirkan anak jiran bermain tambahan pula kedengaran ibunya sedang memasak di dapur," demikian kata jiran kanak-kanak berusia 10 tahun yang ditemui dalam keadaan bogel dengan lehernya diikat dengan rantai besi pada tong gas, lapor Harian Metro. 

Menurut jiran yang hanya ingin dikenali sebagai Salmah, 58, berkata, dia bagaimanapun terdengar bunyi besi direntap membuatkan dia berasa tidak sedap hati lalu meninjau ke dalam rumah itu. 

"Saya terkejut melihat anak jiran diikat dengan rantai besi pada lehernya dan ditambat pada tong gas serta dimangga. 

Kejadian yang berlaku pada jam 10 pagi semalam di Indera Mahkota 1, Kuantan, bapa tiri mangsa menjelaskan dia terpaksa berbuat demikian kerana mangsa degil dan ponteng sekolah. 

Kata Salmah, sudah menjadi kebiasaan dia mendengar jirannya itu yang berusia 35 tahun menengking dan memarahi anak tirinya termasuk terdengar rayuan kanak-kanak berkenaan yang meminta tidak dipukul. 

"Saya tidak pernah mengambil tahu kerana menganggap ia hanya masalah keluarga dan tidak mahu masuk campur urusan keluarga jiran. 

"Selepas Subuh, saya juga terdengar bunyi geselan besi dan cuba meninjau melalui lubang pada dinding rumah dan terkejut apabila melihat anak jiran duduk dalam keadaan mendongak dengan lehernya dililit rantai besi sebanyak dua kali, malah rantai itu diikat pula pada tong gas dan dimanggakan.


"Paling menyedihkan apabila kanak-kanak itu mengangkat tong gas itu sambil menyeret rantai besi ke pintu rumah, mungkin mahu mencari anak kunci bagi membuka mangga itu," katanya. 

Difahamkan, ketika jiran-jiran yang lain menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu, mangsa sudah terbaring di dapur dengan hanya berseluar dan tidak sedarkan diri. 

"Tergamak sungguh mereka membiarkan kanak-kanak berkenaan dirantai begitu sedangkan kurang satu jam sebelum itu saya mendengar ibunya memasak di dapur. 

"Menggeletar tangan saya melihat keadaannya. Jika saya tidak tergerak hati untuk meninjau ke dalam rumahnya, tidak tahu apa yang akan berlaku terhadapnya," katanya. 

Lapor Harian Metro, ketika polis menyerbu rumah berkenaan, hanya mangsa dan adik perempuannya berusia dua tahun berada di rumah, manakala ibu serta bapa tirinya tiada. 

Abang mangsa, Daniel, 16, berkata, bapa tirinya sering memukul dia dan tiga adiknya yang lain walaupun hanya kerana kesalahan kecil. Katanya, lelaki itu mudah naik angin dan bertindak memukulnya apabila ada perkara yang tidak kena padanya. 

Kejadian itu juga turut membuatkan dia mengambil keputusan untuk keluar dari rumah keluarganya dan menumpang di rumah rakannya di Kampung Tiram, sejak Julai lalu. 

"Saya selalu dipukul dan dimarahimnya. Adakalanya dia bertindak melampaui batas, pernah kepala saya cedera teruk kerana ditumbuknya. Namun saya tidak menyangka dia bertindak sebegini sehingga menyebabkan adik saya dimasukkan ke hospital," katanya. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, ibu dan bapa tiri mangsa yang masing-masing berusia 37 dan 32 tahun itu akan direman selama seminggu. 

"Mangsa adalah anak kandung wanita itu hasil perkahwinan terdahulu. Keadaannya kini dilaporkan stabil. 

"Ketika kejadian, mangsa ditinggalkan di rumah bersama dengan adik bongsunya di tingkat atas. Ibu mangsa dipercayai keluar berniaga, manakala dua lagi adik beradik mangsa berusia enam dan 13 tahun berada di sekolah," katanya.

Berita berkaitan: 
Dirantai dan dikurung kerana degil dan ponteng sekolah


from The Reporter http://ift.tt/2y4Eoey
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2fX6O3C
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...