loading...

Tuesday, 31 October 2017

'Datuk Seri' direman empat hari


KUALA LUMPUR - Lelaki yang bergelar 'Datuk Seri' yang memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ketika bertugas di sebuah tokong di Jalan Ampang, minggu lalu telah direman selama empat hari bermula hari ini, lapor Harian Metro. 

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan tempoh reman itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan. 

Lelaki berusia 29 tahun itu tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam 4 petang semalam, sebelum ditahan. 

Pada jam 9.30 pagi, lelaki itu hadir ke Mahkamah Ampang dan diiringi anggota polis ke kamar mahkamah pada jam 10.50 untuk prosiding reman sebelum keluar semula pada jam 12 tengah hari. 

Dalam kejadian jam 6.30 pagi Jumaat lalu, tiga anggota RELA, Melvin Cheong Mun Khai, 19, Leong Jiun Jie, 21, dan Lee Weng Poh, 27, masing-masing mengalami bengkak pada mata kiri selain sakit di beberapa bahagian badan selepas dipukul dan ditendang lelaki terbabit. 

Kejadian itu berlaku hanya kerana mereka meminta lelaki itu mengalihkan kenderaannya jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar menghalang lalu lintas. 

"Pemandu kereta itu mendakwa perlu meminta kebenaran majikannya (Datuk Seri) dan apabila lelaki terbabit mendapat tahu mengenai hal itu, dia naik angin lalu tercetus pertelingkahan di mana lelaki itu menuduh anggota RELA berkenaan tidak menunjuk hormat kepadanya.

"Ranbo lebam dan bengkak pada mata kiri, badan Jackie ditendang manakala Melvin dipukul di kepala," memetik kenyataan Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, yang juga Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA. 

Susulan kes itu mendapat perhatian banyak pihak, ada pihak yang cuba menawarkan wang RM10,000 kepada salah seorang anggota RELA berkenaan untuk menarik balik laporan polis yang telah dibuat. 

Bagaimanapun, Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin tidak akan menerima tawaran itu kerana ia membabitkan maruah RELA. Malah menegaskan bahawa pihaknya tidak gentar dan akan memberi kerjasama pada polis untuk membantu siasatan.

Sementara itu di media sosial, netizen mendesak pihak diraja menarik balik gelaran 'Datuk Seri' yang dianugerahkan kepadanya kerana penyalahgunaan kuasa sehingga menindas penjawat awam yang melaksanakan tugas.


from The Reporter http://ift.tt/2yZQbcw
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2gYwH3l
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...