BATU PAHAT, JOHOR - Polis berjaya menumpaskan sindiket dua wanita yang menyamar sebagai jururawat sebelum menyamun mangsa mereka di sekitar Batu Pahat, Muar, Segamat, Gemas, Negeri Sembilan dan Muadzam Shah, Pahang, sejak tahun lalu, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, tiga suspek utama itu ditangkap di Kluang, Tangkak dan Muadzam Shah, akhir bulan April lalu.
"Hasil siasatan mendapati, suspek lelaki berperanan sebagai penunjuk rumah yang disasarkan kerana mempunyai pengetahuan berkaitan keadaan rumah mangsa kerana pernah datang berurusan menjual penapis air sebelum itu.
"Dua suspek wanita yang bermadu itu pula akan menyamar sebagai jururawat lengkap memakai pakaian seragam dan masuk ke rumah mangsa berpura-pura melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas mangsa sebelum melarikan barang kemas serta wang tunai.
"Hasil barang kemas yang dicuri akan dijual sebelum dibahagikan di antara mereka. Dua individu yang membeli barang kemas berkenaan juga turut ditangkap dan resit pembelian turut dirampas.
"Selain itu, polis turut menemui catatan transaksi jual beli emas hasil curi yang tercatat dalam lapan resit yang berjumlah RM39,800 dalam tiga serbuan yang dilakukan di Kluang, Segamat dan Port Dickson," katanya.
Ketiga-tiga suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada pagi esok atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan menyamar sebagai penjawat awam.
Pada 7 April lalu, seorang warga emas, Zabaidah Aspan, 63, dilaporkan disamun dua wanita berkenaan pada jam 1 tengah hari ketika suaminya keluar menunaikan solat Jumaat.
Zabaidah didatangi dua wanita yang menyamar sebagai jururawat dari Klinik Kesihatan Batu Pahat yang mahu membuat pemeriksaan kesihatan terhadapnya yang kebetulan menghidap penyakit kencing manis sebelum disuntik cecair misteri yang membuatkannya separuh sedar sebelum barang kemasnya disamun. - The Reporter
Artikel berkaitan:
from The Reporter http://ift.tt/2rEIi7u
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2r4vPOi
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment