Dari kecil ibu bapa menjaga kita, sehingga usia di mana kita sudah mampu berdikari. Pada ketika itu, pastinya mereka mahu berehat dan menikmati hari-hari tua mereka dengan pelbagai aktiviti, termasuk aktiviti keagamaan.
Namun, ada segelintir anak yang gemar meminta pertolongan ibu bapa mereka untuk menjaga anak-anak mereka. Pelbagai alasan yang diberikan, tiada cukup wang, takut anak didera pengasuh dan sebagainya. Rayuan itu membuatkan orang tua tiada pilihan selain bersetuju.
Tidak terfikirkah yang mereka akan berasa penat dan lelah menjaga anak-anak anda? Seperti yang berlaku pada Tina yang berkongsikan kisahnya di bawah. Semoga bermanfaat.
Dari Tina, IIUM Confessions
Saya Tina, baru saja habis pantang bersalin anak kedua dan juga baru dibuang kerja serta-merta semasa masih dalam pantang. Suami juga hanya tinggal berbaki sebulan lagi untuk berkhidmat di syarikat tempatnya bekerja kerana telah mendapat surat amaran terakhir akibat keengganan suami untuk ditukarkan lokasi kerja. Ujian datang bertimpa-timpa. Biar saya ceritakan satu-persatu agar dapat dijadikan sebagai teladan buat pembaca sekalian.
Sebelum saya mengandung anak yang kedua, saya hantar anak sulung umur setahun setengah kepada mak setiap hari sebelum pergi ke pejabat. Mak yang jaga anak sulung saya dari pagi sehingga saya pulang dari kerja. Selepas ambil anak, saya akan terus pulang ke rumah sendiri. Begitulah rutin saya dari Isnin sehingga Sabtu (memandangkan saya bekerja separuh hari Sabtu) selama dua tahun.
Mak tidak pernah merungut. Saya tahu ini adalah kesilapan besar seorang anak yang menghambakan ibu untuk menjaga anak saya. Duit gaji saya hanya berikan pada mak setelah saya bayar semua komitmen bulanan saya. Kalau tak cukup, tak adalah duit yang akan diberi pada mak. Sebab itu saya tak hantar anak di rumah pengasuh, sebab duit gaji tak cukup. Saya tahu saya salah, saya tahu saya buat silap! Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya pada mak.
Sepanjang anak saya di bawah jagaan mak, jadual mak telah berubah. Mak tak dapat lagi ke kelas mengaji kerana dia perlu menjaga anak saya. Mak terpaksa korbankan masanya semata-mata kerana beban yang saya telah letak padanya.
Kadang-kadang ada hari ketika mak tak sihat, tetapi saya masih mahu ke pejabat dan terpaksalah mak menjaga anak saya dalam keadaan dirinya yang tidak mengizinkan. Ayah juga banyak mengorbankan masanya untuk menjaga anak saya sekali sekala bila mak sudah tidak berdaya.
Kadang-kadang saya balik kerja lewat malam, terpaksalah ayah dan mak batalkan hasrat untuk ke kuliah maghrib di surau berdekatan kerana tiada siapa yang akan menjaga anak saya.
Suami? Mesti pembaca tertanya-tanya apa peranan suami saya sehingga anak pun tak boleh nak dihantar ke pengasuh. Suami saya kadang-kala dihantar bertugas di luar negara oleh syarikatnya. Gaji dia memang banyak tetapi tak tahu kenapa kami sentiasa rasa tak cukup. Semakin hari, hidup saya macam kucar-kacir. Hutang sana sini. Maka bermulalah ujian satu-persatu datang.
Selepas saya mengandung anak kedua, syarikat suami bekerja mengarahkannya bertugas di luar negara selama lima tahun, bergantung pada jangkamasa projek. Suami enggan menerima arahan tersebut sehingga diberikan surat amaran ketiga yang menyatakan suami akan dibuang dalam tempoh tiga bulan dari tarikh surat amaran terakhir dikeluarkan. Banyak faktor suami enggan ke sana selama 5 tahun.
Berbalik pada kisah saya dibuang kerja. Semasa dalam pantang, saya menerima panggilan dari pejabat menyatakan kerja saya telah diaudit dan mereka menemui dokumen yang telah ditandatangani oleh saya bagi pihak klien. Disebabkan dokumen itu, saya diberhentikan kerja serta-merta dan diminta datang ke pejabat untuk mengesahkan isu berkenaan. Saya terima silap saya dan redha dengan apa yang terjadi.
Sekarang, keadaan saya benar-benar kucar-kacir. Dengan tak ada kerja, dengan suami yang akan diberhentikan dan masih belum dapat panggilan temuduga, dengan komitmen-komitmen yang berlambak yang perlukan duit setiap bulan, memang tertekan.
Dipendekkan cerita, kakak saya yang mengetahui khabar saya kemudian mesej dan kata-katanya membuatkan saya benar-benar insaf.
Dalam mesejnya,
“Tina, kakak tak pernah nak masuk campur urusan hidup Tina. Tetapi kalau Tina boleh fikir semula, semua ujian yang datang pada Tina dan suami sekarang mungkin disebabkan tergurisnya hati mak ayah pada Tina.
"Mak tak cakap pada Tina sebab tak nak Tina dan suami kecil hati. Tapi kakaklah yang selalu menjadi pendengar mak. Mak setiap hari call kakak beritahu mak penat sangat tapi tak dapat rehat sebab jaga anak Tina. Mak tak pernah minta duit Tina dan suami. Mak sayang cucu mak tapi mak perlu masa untuk diri mak sendiri. Mak perlu hadir ke kuliah agama dan kelas mengaji sebab mak suka aktiviti-aktiviti itu.
"Tapi Tina tidak pernah faham mak. Tina tahu tak, kalau hati mak dah terguris sikit pun, apa saja yang Tina buat takkan menjadi. Apa jadi bila mak tak redha atas apa yang Tina buat? Tina ambillah masa dan fikir balik,” tulisnya.
Ya Allah, saya benar-benar dah buat silap. Saya nak berjaya tetapi saya tak dapat keredhaan mak. Saya selalu ingat mak okay sebab mak tak pernah mengeluh dan mengadu pada saya apa-apa. Mungkin hidup saya kucar-kacir sebab saya dah buat mak ayah terasa hati dengan perbuatan saya yang selama ini saya sendiri tak sedar. Saya insaf, saya solat taubat agar Allah mengampunkan dosa saya. Saya minta maaf pada mak dan ayah.
Semoga kisah saya ini boleh dijadikan sebagai iktibar buat pembaca. Pada yang masih menghambakan mak dan ayah, tengok macam-mana kehidupan anda pada saat ini. Bahagiakah? Sama-sama kita perbetulkan kesilapan kita selagi masih ada masa.
from The Reporter http://ift.tt/2qe98H6
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2rSAcsX
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment