Dakwaan oleh sesetengah netizen bahawa 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) dihasilkan dalam makmal dengan vaksinnya telahpun tersedia ada, adalah tidak tepat, demikian menurut Factcheck.org.
Malahan sehingga hari ini tidak ada vaksin bagi virus baharu itu dan tidak ada paten berkaitan dengan virus berkenaan, demikian menurut pertubuhan bukan-keuntungan yang bekerjasama dengan Facebook untuk membongkar maklumat tidak betul, dalam laman webnya.
Memetik Centers for Disease Control and Prevention, pertubuhan itu menyatakan bahawa sesetengah daripada hantaran ‘teori konspirasi’ melalui platform media sosial mengaitkannya dengan paten yang sebenarnya berhubungan dengan dua virus yang berlainan dalam keluarga Koronavirus, yang terbentuk oleh sekumpulan virus yang boleh menyebabkan gangguan pernafasan kepada manusia dan beberapa jenis penyakit lain kepada binatang.
Satu paten adalah untuk satu urutan genetik virus yang menyebabkan SARS yang mana urutan itu dilakukan di CDC semasa wabak SARS dan paten itu dikemukakan oleh mereka.
Manakala paten lain yang sepatutnya berhubungan adalah untuk satu bentuk mutasi bagi virus bronkitis jangkitan burung, atau OBV, yang dikemukakan oleh Institut Pirbright, sebuah institut penyelidikan di UK, yang menjangkiti ternakan tetapi bukan manusia, tambahnya.
“Tiada satu pun daripadanya mempunyai kaitan dengan virus baharu 2019-nCoV. Ini jelas satu teori penipuan kononnya virus ini dihasilkan dalam makmal, dipatenkan dan telah mempunyai vaksinnya”, kata Matthew Frieman, seorang penyelidik Koronavirus di Universiti Maryland, dipetik sebagai berkata oleh laman web Factcheck.org.
Antara hantaran dalam Facebook itu, yang dikongsi bersama oleh Factcheck.org dalam laman webnya berbunyi “Cukup lucu sekali, sudah ada paten untuk Koronavirus yang difailkan pada 2015 dan diluluskan pada 2018,” dan satu lagi yang dikongsi dengan yang lain dan sebahagian daripada siri hantaran tidak benar mengenai Koronavirus, yang mendakwa bahawa virus itu ‘baharu’ tetapi ia dihasilkan dari makmal dan dipatenkan pada 2015 (dalam pembangunan sejak 03’).”
Buat masa sekarang, Factcheck.org menyatakan para penyelidik masih berusaha untuk memahami asal usul, penyebaran dan keterukan berhubung virus terbaharu Koronavirus.
Bukti mencadangkan bahawa virus itu berkemungkinan menjangkiti manusia daripada sejenis binatang yang masih belum dikenal pasti, seperti yang berlaku sebelum ini untuk Koronavirus yang lain.
Contohnya, virus SARS, dikatakan terhasil daripada kelawar dan kemudian merebak kepada manusia menerusi musang, binatang menyerupai seperti kucing yang dimakan sebagai sajian istimewa di Asia. Virus SARS kemudian terbukti boleh dijangkiti daripada seseorang kepada yang lain.
Sehingga Sabtu (25 Jan), Kementerian Kesihatan mengesahkan empat kes jangkitan Koronavirus di Malaysia.
Sumber: Bernama
from The Reporter https://ift.tt/2uDq7WI
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2U1k3BQ
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment