Peguam hak asasi manusia, Latheefa Koya Abdullah hari ini mengingatkan orang ramai agar tidak memaksa wanita bertudung kerana tiada paksaan dalam Islam berkaitan tuntutan berkenaan.
"Saya langsung tidak setuju orang dipaksa pakai tudung. Ini bukan cara Islam. Tiada paksaan dalam Islam. Mana pergi prinsip ini?
"Hanya semata-mata seorang wanita tak pakai tudung, adakah dia akan masuk neraka? Adakah dia jadi murtad? Adakah dia menjadi seorang perempuan yang jalang?
"Come on lah, itu adalah satu pemikiran ekstremis," kata Latheefa melalui Facebooknya hari ini.
Beberapa hari lalu, isu berkaitan dengan tudung timbul apabila aktivis Maryam Lee Abdullah dalam pelancaran bukunya yang bertajuk Unveiling Choice, disusuli dengan forum yang membincangkan isu perempuan Melayu yang tidak lagi bertudung.
Isu itu mendapat banyak reaksi netizen yang tidak bersetuju dengan aktivis terbabit dan menegaskan adalah menjadi kewajipan wanita muslimah menutup aurat seperti yang diajar dalam Islam.
Menteri Agama Mujahid Yusuf Rawa juga telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan.
Menurut Latheefa, tidak akan lunturnya iman seseorang itu apabila dia mengikuti forum seperti itu.
"Biar seseorang wanita itu bebas memikir dan memilih sama ada dia mahu berhijab atau tidak. Janganlah mencerminkan orang Islam itu terlalu rapuh dan obses kepada bentuk badan, rambut dan seks.
"Bukan sekadar tudung sahaja, biarlah orang nak bincang kenapa dia buka tudung atau pakai tudung," katanya.
Menjadikan dirinya sebagai contoh, Latheefa berkata dia mula memilih untuk memakai tudung ketika berada di tingkatan enam bukan kerana mahu menunjuk 'alim', sebaliknya sebagai tanda protes terhadap penganiayaan terhadap wanita yang menutup aurat di timur tengah.
"Ketika itu saya terbaca orang yang pakai tudung di negara lain seperti di Turki, Mesir dianiaya dan tidak dibenarkan. Saya marah," katanya.
Latheefa tidak menafikan yang pada awalnya agak sukar untuk dirinya bertudung tetapi setelah lama kelamaan, tudung sudah menjadi sebahagian daripada tindakan semulajadi.
"Akhirnya setelah beberapa tahun lalu, saya rasa selesa pakai tudung, telah jadi second nature, tak fikir pun apa ada di atas kepala saya. Saya selalu ditegur oleh kawan-kawan sebab tudung saya senget," katanya.
Sumber: Latheefa, MalaysiaKini
from The Reporter http://bit.ly/2DhNHcS
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://bit.ly/2PjLTFa
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment