loading...

Sunday 2 September 2018

Penyamun hilang nyawa dibelasah sekumpulan warga Bangladesh


Padah cuba menyamun, seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun maut dibelasah sekumpulan warga Bangladesh dalam kejadian awal pagi kelmarin, lapor Harian Metro

Dalam kejadian pada jam 6.45 pagi di sebuah rumah kedai di Jalan Gelugor, Bandar Baru Klang, mangsa cuba mengumpil pintu jeriji besi di tingkat bawah premis tersebut yang kemudian disedari oleh seorang lelaki Nepal yang bekerja di hotel berdekatan. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, pekerja hotel berkenaan kemudian terdengar bunyi pergaduhan selain jeritan "Ada orang datang samun" dalam bahasa Bangladesh.

"Tindakan mangsa yang dikatakan mahu menyamun itu gagal apabila sekumpulan warga Bangladesh berkenaan menyerang balas sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemui sebilah pisau, playar boleh laras dan kayu panjang. Beg galas milik mangsa turut diperiksa dan di dalamnya mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, telefon bimbit, kunci kereta dan alatan untuk menghisap dadah. 

"Selain itu, kereta jenis Proton Saga warna emas milik mangsa ditemui di lorong belakang hotel berkenaan," katanya.

Semakan mendapati, mangsa juga memiliki lima rekod jenayah lampau termasuk kes samun dan dadah. 

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian, tampil menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki Bangladesh yang dipercayai cuba melarikan diri ke negaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.45 petang kelmarin. 

Beberapa suspek yang lain juga sedang diburu kerana dipercayai telah melarikan diri selepas kejadian itu. 

Polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.


from The Reporter https://ift.tt/2N8zbdC
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2Nc3Y9n
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...