loading...

Sunday, 9 September 2018

Kedai makan jual rokok dikecualikan SST - Guan Eng


Kerajaan akan memberi pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melibatkan penyewaan warung kecil dan penjualan rokok kepada para pengendali kedai makanan dan minuman.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata selepas menerima pelbagai maklum balas daripada para peniaga kedai makanan dan minuman, pengecualian cukai SST ini harus diberikan kepada sewaan warung-warung kecil dalam perkarangan kedai.

"Pengendali kedai makanan dan minuman hanya dikenakan cukai SST selepas melebihi nilai ambang RM1.5 juta yang merangkumi makanan dan minuman sahaja dan kadar sewaan warung-warung ini bukan melibatkan makanan dan minuman. Jadi itu sewaan tidak perlu masuk dalam cukai SST," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Terdahulu, Lim, yang juga Anggota Parlimen Bagan, menghadiri sesi Taklimat SST bersama Menteri Kewangan yang dihadiri lebih 300 peniaga dan wakil syarikat industri.

Turut hadir bersama adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri T. Subromaniam dan pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh.

Lim turut mengumumkan bahawa penjualan rokok di kedai berkenaan yang tidak mencapai nilai ambang sebanyak RM500,000 setahun juga akan diberi pengecualian cukai SST.

Katanya, kerajaan telah bersetuju bahawa nilai ambangan kedua-dua barangan berkenaan diasingkan kepada RM1.5 juta setahun bagi makanan dan minuman.

"Pengecualian SST ke atas penjualan rokok di kedai makanan dan minuman yang nilai ambangannya kurang daripada RM500,000 ini akan membantu peniaga untuk mengurangkan bebanan mereka dengan barangan itu akan dijual pada harga sama di kedai lain," katanya.

Lim juga berkata kerajaan sedang memberi pertimbangan untuk memberi pengecualian cukai kepada pengendali sektor penyelidikan dan pembangunan (R and D) tempatan yang berpangkalan di luar kawasan Zon Industri Bebas (FIZ) yang memberi perkhidmatan kepada syarikat di kawasan berkenaan.

"Ini bagi memberikan dorongan kepada sektor R and D tempatan dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0 dan meningkat daya saing dalam kalangan pemain industri tempatan," katanya. - Bernama 


from The Reporter https://ift.tt/2oV7I1n
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2MhqtW9
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...