loading...

Tuesday, 17 July 2018

Kerap menangis, bapa gigit kepala bayi berusia 20 hari


Ketika bapa lain sedang sibuk menguruskan perihal anak dan sedang bermain-bermain dengan anak-anak mereka, seorang lelaki yang berumur 34 tahun pula tergamak melakukan perbuatan kejam terhadap anaknya. Lelaki terbabit telah ditahan oleh pihak polis di perkarangan Hospital Kepala Batas semalam atas tuduhan mencederakan anaknya yang baru berusia 20 hari. 

Suspek dikatakan telah menggigit kepala bayi perempuannya itu kerana mendapati anaknya kerap menangis. Suspek juga dilaporkan kerap melambung dan pernah menggantung anaknya di buai hingga terjatuh di rumah mereka di Bumbung Lima.

Malah, dia juga pernah mengugut mahu menjual bayi berkenaan dan sering memukul anak-anaknya yang lain membuatkan isterinya bimbang dan melaporkan kejadian terbabit kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek ditahan pada 7.50 malam oleh anggota polis yang melakukan Op Cantas, lapor Harian Metro.

Menurutnya, isteri suspek membawa bayi mereka ke hospital untuk rawatan dan doktor mendapati kesan lebam sudah hilang kerana kejadian sudah beberapa hari berlaku.

“Hasil siasatan awal, kita dapati suspek kerap melambung dan menggigit bayi berkenaan di kepala, hidung serta pipi hingga meninggalkan kesan.

“Punca dia berbuat demikian kerana bayi terbabit kerap menangis malah siasatan juga mendapati suspek pernah mengugut mahu menjual anaknya itu,” katanya.

Noorzainy berkata, suspek yang tidak bekerja itu didapati positif methamphetamine, namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek akan direman hari ini di Mahkamah Butterworth,” katanya.

Sumber: Harian Metro


from The Reporter https://ift.tt/2LmdSAZ
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2L12VZG
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...