loading...

Thursday, 12 July 2018

'Aboh, bila kakak nok pakai tangan palsu?' - soalan pertama Khumaira selepas keluar dari bilik pembedahan


“Aboh, bila kakak nok pakai tangan palsu?" demikian soalan pertama dari Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, yang terputus tangan kiri selepas baju sejuk yang dipakainya tersangkut pada rim motosikal yang dinaikinya malam tadi, lapor Harian Metro.

Bapa mangsa, Zulkifli Mohamad, 38, berkata, Khumaira bertanyakan soalan itu sebaik saja membuka matanya selepas keluar dari bilik pembedahan pagi tadi. Zulkifli terkejut apabila anaknya bertanyakan soalan itu seolah-olah sudah boleh menerima hakikat bahawa tangannya tidak dapat lagi diselamatkan. 

"Apabila kakak mengajukan soalan begitu, saya terkejut bagaimana dia boleh tahu mengenai perkara itu (tangan tidak dapat diselamatkan), namun saya dan isteri cuba memberi semangat kepadanya supaya jangan putus asa," katanya.

Menceritakan semula kejadian, kakak saudaranya, Noor Aina Hananie Rozali, 18, berkata, sebelum kejadian itu dia mengajak Khumaira menemaninya ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk mengambil cop pengesahan borang biasiswa bagi menyambung pelajarannya di kolej. 

"Khumaira duduk di belakang dan adik bongsunya berusia dua tahun duduk di tengah. Saya hanya mula menyedari kejadian apabila motosikal tiba-tiba bergerak perlahan dan ada suara mengadu sakit di belakang.

"Apabila saya berpaling, Khumaira sudah berada di atas jalan, jadi saya memberhentikan motosikal sambil memegang adiknya yang masih di belakang," katanya yang juga mendedahkan kanak-kanak itu langsung tidak menangis sepanjang kejadian itu. 

Ibu mangsa, Rohidayu Siup@Yusof, 29, berkata, baju sejuk yang dipakai Khumaira ketika kejadian adalah miliknya dan itu merupakan kali pertama Khumaira memakainya. 

"Kakak tak pernah memakai baju sejuk itu tapi pada malam tadi dia ambil untuk mengikut kakak saudaranya menaiki motosikal ke rumah tok penghulu. Sebaik mengetahui kejadian itu, saya bergegas ke lokasi dan menemani Khumaira untuk ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke HSNZ untuk pembedahan menyambung tangannya.

"Bagaimanapun, sebaik pembedahan selesai, kami sekeluarga dimaklumkan tangan Khumaira gagal disambung kerana keadaannya yang sudah hancur," katanya sayu.

Sumber: Harian Metro

BERITA BERKAITAN: 



from The Reporter https://ift.tt/2KS9e1C
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2mcq2l7
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...