loading...

Thursday, 20 April 2023

'Ah Long ugut nak pukul, kerat badan, jual adik beradik perempuan saya jadi pelacur' - Lelaki tertekan diugut Ah Long, hutang RM1,600 tiba-tiba jadi RM40,000



Bukan kerana kehendak tetapi keperluan terdesak menyebabkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Amie memilih untuk membuat pinjaman Along. 


Dia mengambil langkah itu setelah terdesak untuk mengumpul wang bagi menampung kos pembedahan mata. 


Dia kini buntu memikirkan cara untuk membayar kembali hutang yang berjumlah RM40,000 dalam tempoh yang diberikan hanya 10 hari iaitu sehingga 27 April.


Kisah dihadapi Amie yang bekerja dalam industri fesyen mendapat perhatian netizen selepas dia memuat naik videonya untuk berkongsi masalah bebanan hutang ditanggung di TikTok, semalam.


Menurut Amie, tujuannya memuat naik video itu bukan untuk meraih simpati tetapi kerana buntu dan mengharap ada yang dapat memberinya jalan bagi melangsaikan hutang berkenaan.


Katanya, meskipun ada pihak yang mempersoalkan tindakannya meminjam daripada Along, namun dia tiada pilihan kerana keadaan mendesak ketika itu.


"Mata kiri saya buta dan sebelum ini, keadaannya okay tetapi ia berdarah tanpa henti. Bagi mengetahui puncanya, saya pergi ke hospital swasta dan disyorkan doktor untuk membuat pembedahan bagi mengelak berlakunya jangkitan.


"Ingatkan tak serius tetapi sampai ada ulser dan nanah dalam mata. Entah macam mana ketika di hospital pada 21 Mac lalu, saya jumpa satu aplikasi bersama pautan menawarkan pinjaman sebanyak RM2,600," katanya.


Menurutnya, fikirannya ketika itu runsing kerana memikirkan bagaimana cara untuk mendapatkan wang untuk pembedahan mata.


"Saya tak fikir panjang terus hantar butiran peribadi termasuk nombor akaun bank kepada pautan diterima sebelum syarikat itu memasukkan RM1,600 ke akaun bank saya," katanya.


Menurut Amie, dia kemudian bertanya kepada pihak hospital mengenai kos pembedahan dan hanya diminta membayar RM350 saja untuk permulaan kerana boleh mendapatkan bantuan daripada biro kebajikan.


Ketika itu, Amie tersedar yang dirinya tersilap langkah apabila terburu-buru membuat pinjaman dengan Along.


"Mengikut perjanjian, saya diminta bayar pinjaman sebelum 12 tengah hari pada 8 April lalu, namun saya buat bayaran penuh lebih awal pada 23 Mac iaitu dua hari selepas tarikh pinjaman.


"Masalah timbul apabila wakil syarikat mendakwa gagal menerima wang kerana saya bayar tidak ikut piawaian syarikat dengan mengisi nama ejen di ruang rujukan.


"Jadi, saya minta wakil syarikat memasukkan semula wang ke akaun saya, namun dia enggan berbuat demikian kerana katanya ia membabitkan wang syarikat dan dia pula tuntut RM4,000 daripada saya sebagai syarat untuk menutup akaun," katanya.


Menurutnya, ejen berkenaan kemudian memperkenalkan tiga ejen lain untuk menyelesaikan penutupan akaun dengan tawaran RM2,000 daripada setiap seorang ejen.


Katanya, daripada tiga orang, jumlah ejen dipertanggungjawabkan untuk menutup akaun bertambah menjadi 16 orang hingga hutang keseluruhan mencecah RM40,000 dengan faedah RM1,000 setiap satu jam. Selain itu, dia dan keluarganya juga telah diugut dengan bermacam-macam ugutan.


"Saya bimbang jika perkara buruk berlaku kerana menerima banyak ugutan. Macam-macam mereka ugut antaranya nak pukul dan kerat anggota badan saya selain ancam jadikan adik beradik perempuan saya pelacur.


"Mereka juga ugut nak reka gambar lucah saya dan sebar kepada kenalan serta orang terdekat," katanya.


Difahamkan, satu laporan polis telah dibuat oleh Amie di Balai Polis Dang Wangi, kelmarin.


Katanya, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) cuba berunding dengan Along, semalam namun mereka tetap menuntut hutang RM40,000.


"Ini dugaan paling berat untuk saya dalam bulan Ramadan dan tak buat persiapan apa pun untuk beraya atau pulang ke kampung," katanya.


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/amTEn98
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/CnqrhgR
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...