loading...

Saturday, 25 May 2019

'Tak sangka ia pertemuan terakhir' - Ibu hamil 5 bulan antara 4 maut, seorang cedera dalam kemalangan di Kuala Nerus


Empat maut, seorang cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kereta berhampiran tempat pembuangan sampah di Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus, hari ini. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.20 pagi tadi di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya itu membabitkan kereta Peugeot dan Proton Aeroback. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.30 pagi berhubung kejadian itu dan 11 anggota bersama satu jentera dan ambulan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian. 

Setibanya di lokasi, bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik NEgeri, Superintendan Abd Razak Hassan berkata, dua buah kereta terbabit bertembung menyebabkan kesemua mangsa meninggal dunia. Antara yang menjadi mangsa dalam kemalangan itu adalah seorang wanita hamil lima bulan.


Siti Nur Shahila Asla, 26, dan suaminya, Hafiiz Mohd Ibrahim, 29, yang menaiki Proton Wira Aeroback, meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah. 

Dua lagi yang terkorban, pemandu Peugeot, Anuar Said, 59, dan isterinya, Che Khasliza Che Hussin, 52, sementara anak mereka, Nurul Nadirah, 13, cedera di muka dna kaki, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). 

Difahamkan, Siti Nur Shahila dan Hafiiz ketika itu dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Nerus selepas pulang dari Kampung di Felda Chiku 5, Gua Musang, manakala Anura dan keluarganya dalam perjalanan ke Besut dari Dungun selepas menziarahi sepupu yang meninggal dunia malam tadi. 


Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Peugeot dikatakan bertembung dengan Proton Wira yang dipandu dari arah bertentangan. 

Kesemua mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HSNZ untuk dibedah siasat. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan. 


SEMPAT BELI BARANG KEPERLUAN RAYA UNTUK KELUARGA

Ibu kepada Siti Nur Shahila, Saripah Mohd, 53, berkata, dia tidak menyangka pertemuan mereka pagi tadi adalah kali terakhir dia melihat anak dan menantunya. 

"Pagi tadi mereka hanya sempat minum dan bertolak dari sini pada jam 6.30 pagi. Siti Nur Shahila ada minta saya masakkan sira tapai dan nasi dagang dan saya bersyukur kerana sempat menunaikan hajatnya. 

"Dia sempat membeli barang keperluan raya kami sekeluarga. Arwah ada beritahu dia akan beraya di rumah suaminya dahulu di Kuala Nerus," katanya yang juga terkilan hajat anak dan menantunya untuk bergelar sebagai ibu bapa tidak kesampaian.

REDA DENGAN PEMERGIAN ANAK  & MENANTU DI BULAN RAMADAN

Bapa Hafiiz, Ibrahim berkata, dia reda dengan perkhabaran itu dan mengakui sedih kerana pasangan itu selama ini tinggal bersamanya kerana mahu menjaga dia yang mempunyai pelbagai penyakit. 

"Dia selalu nasihatkan saya supaya jaga makan minum dan akan bising sekiranya saya tidak mahu ke hospital membuat pemeriksaan," katanya dalam nada sebak. 

Jenazah pasangan itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Awang Lib, Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus. 

TAK SANGGUP BERITAHU ANAK SAUDARA YANG IBU BAPANYA SUDAH MENINGGAL

Sepupu kepada pemandu Peugeot, Hufaizal Hussin, 37, berkata, mereka masih tidak sanggup memaklumkan kepada anak saudaranya bahawa ibu bapanya telah meninggal dunia kerana mengenangkan keadaannya yang sedang menanggung kesakitan. 

"Saya hanya minta dia makan ubat dan cepat sihat kerana keadaannya agak teruk dengan kecederaan di muka dan patah paha kedua-dua belah kaki. 

"Saya hanya minta dia tidak terlalu memikirkan keadaan ibu bapanya kerana bimbang akan memberi kesan kepada kesihatannya," katanya. 

Jenazah Anuar Said dan isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Jeti, Dungun. 

Sumber: Harian Metro


from The Reporter http://bit.ly/30SMOBQ
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://bit.ly/2Wsri7m
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...