Luluh hati seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut mendapati individu yang meninggal dalam kemalangan maut yang dikendalikan oleh pasukannya di Kilometer 14 Jalan Jerantut-Temerloh di Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, adalah adik perempuannya sendiri.
Lebih memilukan, anggota berkenaan hanya menyedari perkara itu selepas melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian sebelum secara tidak sengaja melihat kad pengenalan adik perempuannya, Nor Rarzalina Abu Kassim, 44.
Anggota bomba berkenaan, Kholid, 48, berkata, dia bersama tujuh anggota lain dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja menyelamat dan membersihkan kawasan kemalangan sebaik menerima panggilan kecemasan.
"Saya hanya tahu mangsa maut itu adalah adik saya selepas terlihat kad pengenalannya yang ditunjukkan anggota polis bertugas di lokasi kejadian.
"Bila saya semak betul-betul, baru saya tahu dia memang adik saya. Hati saya pilu dan terkejut kerana panggilan kes ini membabitkan ahli keluarga saya sendiri," katanya memetik laporan dari Harian Metro.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1 tengah hari di mana Nor Rarzalina yang memandu Proton Exora maut selepas bertembung dengan Mitsubishi Triton dari arah bertentangan.
Pemandu Triton, Koo Khoon Liang, 37, juga maut di tempat kejadian, manakala tiga lagi parah.
Siasatan polis mendapati, Mitsubishi Triton yang dipandu dari arah Jerantut menuju ke Temerloh dipercayai gagal memotong kenderaan di hadapannya lalu melanggar Proton Exora yang dipandu mangsa dan sebuah lagi Perodua Axia.
Akibat pelanggaran itu, Perodua Axia berpusing sebelum melanggar Proton Persona yang datang dari arah belakang.
Pemandu Axia, Rohasliana Mohd Rani, 25, mengalami patah tangan kiri, manakala dua penumpangnya Fatimah Abdullah, 64, dan Khalid Mohd Rani, 35, kritikal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
from The Reporter http://bit.ly/2VyDgwV
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://bit.ly/2VUVtnA
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment