loading...

Sunday, 9 December 2018

'Kami sedih, arwah baharu berkahwin' - Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan


Pasangan suami isteri dan dua anak saudara mereka maut selepas Perodua Viva yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspress, hari ini. 

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, Mohamad Syahmi Emir Mohd Rawi, 24, dan isterinya, Nur Diana Afifah Hasnulhady, 24, serta dua anak saudara mereka, Yasmin Afiqah Hazemi, 14, dan adiknya, Yasmin Aliah, 12, maut di lokasi kejadian. 

Pemandu bas, Mohd Salleh Ghazali, 37, dan 30 orang penumpangnya tidak mengalami kecederaan. 

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, ketika kejadian, keempat-empat mangsa dalam perjalanan balik dari Teluk Chempedak ke Kuantan untuk menghantar dua beradik berkenaan ke Mersing, Hohor, sebelum pulang ke Johor Bahru. 

Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian, kereta Viva yang dipandu Syahmi dipercayai masuk ke laluan bertentang lalu bertembung dengan bas ekspres yang menuju ke arah Kuantan. 

Ekoran kejadian itu, kedua-dua kenderaan itu terseret sejauh 30 meter sebelum terjatuh ke dalam parit di sebelah kanan jalan. 

Menurut bapa mangsa, Mohd Rawi Manab, 50, berkata, anaknya baru saja bernikah pada 8 November lalu dan kebetulan pada hari kejadian merupakan genap sebulan mereka berkahwin. 

"Mereka berdua sebenarnya baharu lepas menghantar barang keperluan kepada adik bongsunya berusia 20 tahun di Politeknik Muadzam Shah sebelum singgah di Teluk Chempedak di Kuantan untuk bersiar-siar.

"Bagaimanapun ketika mereka mahu pulang semula ke Johor Bahru, kereta Perodua Viva yang dipandu anak saya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres. Sepatutnya saya yang perlu hantar barang berkenan, namun disebabkan ada kerja, dia yang terpaksa gantikan saya.

"Masa kejadian anak bongsu saya turut mengikuti abangnya untuk balik ke Johor Baharu tetapi menaiki kereta lain," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rompin di sini hari ini.

Mohd Rawi berkata, ketika kejadian anak bongsunya ada mendengar bunyi dentuman yang kuat sebelum melihat ke cermin dan nampak kereta abangnya dilanggar oleh sebuah bas.

"Arwah yang juga anak sulung daripada tiga beradik seorang yang manja dan selalu makan bersuap walaupun sudah besar. Kami amat sedih sebab arwah baharu berkahwin dan barang perkahwinannya masih belum dikemas.

"Kami sekeluarga amat merasai kehilangannya, dia adalah harapan keluarga. Sebelum kejadian dia juga tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Sementara itu, kakak kepada Nur Diana Afifah iaitu Nur Nadira Aifa berkata, adiknya berpesan supaya memadamkan laman sosial Facebook jika apa-apa berlaku kepada dirinya.

"Namun, kami sekeluarga tidak mensyaki apa-apa tetapi saya tidak sangka kejadian seperti ini berlaku kepadanya. Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini," katanya.

Semua mangsa telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Seri Pantai, Mersing dalam satu liang lahad petang tadi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian tampil untuk memberi maklumat lanjut.

Sumber: Harian Metro


from The Reporter https://ift.tt/2QJPhfv
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2RRoETq
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...