Ahli perniagaan kontroversi, Nur Sajat, didenda RM2,700 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga kesalahan membabitkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014, tiga tahun lalu.
Hakim Rofiah Mohamad turut memerintahkan Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 33, dikenakan hukuman penjara enam minggu jika gagal membayar denda itu.
Terdahulu, dia yang mengusahakan perniagaan kosmetik dan emas mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.
Mengikut semua pertuduhan, Nur Sajat didakwa gagal mengemukakan penyata perniagaan kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia mengikut cara yang ditetapkan sepanjang 1 April 2015 hingga 30 Jun 2015, 1 Oktober 2015 hingga 31 Disember 2015 dan 1 Januari 2016 hingga 31 Mac 2016.
Semua perbuatan itu dilakukan di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kelana Jaya pada 22 Oktober 2015.
Sabit kesalahan, penyanyi lagu Bobo Di Mana itu boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Berikutan itu, Rofiah memerintahkan setiap kesalahan itu didenda RM900 serta penjara dua minggu setiap kesalahan jika gagal membayar denda.
Ketika proses rayuan, Nur Sajat yang tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri meminta maaf kepada mahkamah selain memaklumkan tidak mengetahui berkenaan sistem GST ketika itu.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Noor Asyikin Md Rodh manakala Nur Sajat tidak diwakili peguam. - Berita Harian
from The Reporter https://ift.tt/2SVG69b
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2EvYEsP
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment