Khamis lalu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy membidas Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq, susulan tindakan syap parti itu yang mendesak Menteri P Waythamoorthy meletak jawatan ekoran insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman sehingga menyebabkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib.
Menurut Ramasamy, tindakan itu dianggap 'menghina' kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Itu adalah pilihan Dr Mahathir. Saya tidak faham mengapa pemuda BERSATU mahu Waytha letak jawatan melalui memorandum yang turut disertai Syed Saddiq.
"Dalam maksud lain, ARMADA BERSATU mempersoalkan keputusan pengerusi partinya sendiri. Untuk itu, pemimpin ARMADA BERSATU itu perlu diambil tindakan," katanya melalui Facebook.
Namun menurut sumber, Syed Saddiq hanya menjadi 'pemudah cara' bagi beberapa rakannya untuk menghantar terus memorandum itu kepada Dr Mahathir.
Memorandum mendesak dan menuntut Waytha selaku Menteri Perpaduan untuk meletak jawatan kerana gagal meredahkan ketegangan kaum dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, selain dia turut menyalah polis sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak.
Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan, tampil 'sekolahkan' Ramasamy dan menyelar kenyataannya yang cuba menyekat suara rakyat
"Saya tidak masuk politik untuk play safe. Saya tidak masuk politik untuk jadi pak turut. Saya tidak masuk politik untuk membisukan mulut dan memekakkan telinga apabila rakyat sudah pun bersuara.
"Saya bersedia untuk diambil tindakan jika perbuatan saya salah. Saya tidak akan memohon maaf hanya kerana berterus-terang," katanya.
Syed juga mencadangkan agar Ramasamy tidak bersikap berat sebelah dengan mengambil tindakan terhadap Exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin yang sebelum ini turut mendesak Waytha meletak jawatan.
"Bukankah beliau rakan sekerja anda di Pulau Pinang? Saya cadangkan YB Ramasamy juga ambil tindakan ke atas Pemuda Amanah Terengganu kerana 'menghina kebijaksanaan Tun' apabila mencadangkan P Waythamoorthy digantikan dengan Nurul Izzah. Jangan lupa 'sekolahkan' Penasihat Media Perdana Menteri, A Kadir Jasin sekali.
"Saya pemuda parti tuan sendiri mendesak Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik agar letak jawatan. Tapi bila ada pimpinan pemuda Bersatu buat desakan yang sama, kita dituduh mengkhianat Pakatan Harapan (PH), dituduh memainkan sentimen perkauman, dituduh seperti UMNO dan PAS.
"Ini tiada kaitan dengan kaum. Ini tentang setuju untuk tidak bersetuju, untuk tidak menekan hak mana-mana pihak menyuarakan pandangan.
"Sebagai ketua pemuda BERSATU, saya bertanggungjawab bagi membenarkan rakan-rakan saya untuk bersuara dan tidak membukukan perasaan mereka. Kita percaya dengan slogan, 'Berani Kerana Benar'.
"Jadi YB, jangan sesekali ingat kamu boleh mendiamkan anak muda ini," katanya.
Sumber: Berita Harian, MalaysiaKini
from The Reporter http://bit.ly/2QMVbNU
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://bit.ly/2SaaKf4
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment