loading...

Wednesday, 19 December 2018

'Saya nak tengok muka orang yang sanggup bunuh anak saya' - Ibu Adib


"Saya nak tengok muka orang yang sanggup buat macam itu.. sampai bunuh anak saya," demikian luah Asma Aziz, 51, ibu kepada arwah Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang maut akibat dibelasah sekumpulan perusuh dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, November lalu. 

Asma berkata, dia mahu melihat sendiri wajah pelaku yang tergamak meragut nyawa anaknya yang ketika itu sedang menjalankan tugas dan besar harapannya sebagai seorang ibu untuk melihat si pelaku dihadapkan ke muka pengadilan untuk menuntut bela terhadap kematian anaknya. 

"Saya nak depa dibawa ke muka pengadilan. Apa yang dilakukan itu tidak boleh dimaafkan," katanya ketika ditemui wartawan di rumahnya di Kampung Tebengau Tepi Laut, Alor Setar. 

Menurut Asma, anak kedua daripada empat beradik itu amat rapat dengan keluarga dan sentiasa pulang ke kampung setiap kali cuti. Mengimbas semula sifat Adib, arwah juga akan mengambil cuti untuk membantu bapanya mengerjakan sawah setiap kali tibanya musim menanam padi. 

"Kalau cuti dua haripun, arwah akan pulang ke rumah menaiki keretapi atau bas sebab arwah memang rapat dengan keluarga. 

"Kalau musim menanam padi, arwah akan menghubungi bapanya untuk mengambil cuti dan membantu di sawah," katanya. 

Asma mengakui, dia masih tidak dapat tidur lena malam tadi kerana terlalu rindukan Adib. Apabila ditanya lanjut mengenai arwah, Asma tidak dapat menjawab kerana terlalu sebak. 

Mengenai majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada 22 Disember ini, Asma belum lagi membuat keputusan sama ada mahu menukar majlis itu sebagai kenduri tahlil kerana dia masih sedih dengan pemergian Adib. 

Walaupun begitu, Asma berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan ramai pihak khususnya di media sosial yang mahu kematian Adib dituntut bela dan pelakunya dihadapkan ke muka pengadilan. 

"Rasa berterima kasihlah namun sampai sekarang saya tak boleh tengok berita mengenai Adib (di laman sosial)... saya tak sanggup lagi," katanya.

Sumber: Harian Metro


from The Reporter https://ift.tt/2UVYBMw
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2Lp22qQ
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...