MELAKA - Viral video yang dimuat naik oleh seorang wanita yang mendakwa kereta mereka dihimpit dan dikepung oleh empat buah kereta di Lebuhraya PLUS Kilometer 194.6, Kuala Lumpur arah utara.
Aniss Hamid dalam status di Facebooknya mendakwa, pemandu Honda City berwarna putih itu memandu secara berbahaya dan cuba melanggarnya.
"Menggigil satu badan apabila berlaku aksi dihimpit dan dikepung serta dikejar dengan samseng jalanan. Aksi berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda City cuba melakukan aksi berbahaya di lebuhraya ke arah utara exi Melaka Benbam.
"Saya cuba membunyikan hon kepada pemandu itu dan saya lihat di cermin sisi ada tiga buah kenderaan lain jenis Proton Preve, Proton Gen 2 dan Proton Persona mengepung dan ingin melanggar kereta kami, nasib baik saya sempat mengelak.
"Kereta yang saya pandu cuba dilanggar oleh kereta Honda City yang berlagak samseng. Saya memberhentikan kereta di sisi jalan bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini. Namun kereta saya dihimpit sekali lagi oleh kenderaan yang sama di sisi jalan.
"Empat buah kenderaan itu telah mengepung kami. Tiga lelaki daripada kenderaan itu keluar dan berlagak seperti samseng mengetuk tingkap kereta kami. Saya mengambil keputusan untuk tidak keluar dari kereta kerana ketakutan dan terus menghubungi pihak Lebuhraya PLUS dan pihak Polis.
"Samseng jalanan itu beredar apabila mengetahui kami merakam video mereka. Saya mengambil keputusan untuk menunggu pihak peronda tiba kerana khuatir mereka masih menunggu di hadapan. Kami tidak berani meneruskan perjalanan disebabkan kejadian tadi.
"Hampir 15 minit menunggu, pihak peronda tidak tiba. Saya ternampak sebuah kenderaan polis lalu, lalu mengejar dan menahannya kerana masih berada dalam ketakutan dan menceritakan kejadian yang berlaku pada kami. Pihak polis memberi jaminan akan mengiringi kami sehingga destinasi yang ingin dituju.
"Saya berterima kasih kepada dua anggota polis dari Balai Mersing yang mengiringi kami sehingga tiba ke destinasi yang dituju. Viralkan supaya tidak berlaku perkara sebegini terhadap pemandu lain terutamanya pemandu wanita seperti kami. Satu pengalaman yang mengerikan dan menakutkan buat kami. Biasanya tengok aksi lagak samseng jalanan kejar mengejar ini dalam drama atau filem tetapi ini berlaku pada diri sendiri," katanya.
Video yang dimuat naik sejak jam 3.24 pagi semalam, telah dikongsi 11,509, 4,400 kali dikongsi dan hanya 22 komen sahaja.
Berdasarkan video yang dimuat naik, penumpang hadapan merakam video sebuah kereta Proton Preve dan didepannya kereta Honda City.
Pada saat ke 53, kereta Honda City itu tiba-tiba masuk ke lorong kanan dan kembali semula ke lorong tengah sebelum berhenti di lorong kecemasan.
Dalam masa yang sama, kereta perakam juga mengekori kereta tersebut dan berhenti di lorong kiri (bukan lorong kecemasan) sebelum membunyikan hon berpanjangan.
"Ini kereta gila yang ada dekat Melaka, yang bawa kereta macam ular, yang nak langgar kami," kata perakam berkenaan.
Dalam video kedua pula menunjukkan tiga buah kenderaan yang dinyatakan oleh Aniss berhenti di hadapan kereta Honda City berkenaan dan tiga lelaki keluar dari kereta dan menghampiri kereta Aniss yang didakwa mengetuk tingkap keretanya.
"Diorang turun je kakchik, kau terus tekan minyak," kata perakam.
Bagaimanapun timbul banyak persoalan dari netizen yang keliru dan tertanya-tanya apakah punca kejadian serta siapakah yang 'samseng' sebenarnya? Bagi pandangan netizen, dakwaan wanita itu tidak masuk akal kerana empat buah kenderaan itu langsung tidak mengepung dan menghalang perjalanannya.
Malah, netizen turut mempertikaikan mengapa wanita itu memberhentikan keretanya di lorong kiri berbanding empat kereta berkenaan yang berhenti di lorong kecemasan. Tindakan wanita itu bukan saja membahayakan diri tetapi membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
from The Reporter http://ift.tt/2jejNyH
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2xTSMTD
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment