Segala apa pengorbanan isterinya selama ini seperti tiada makna dan dilupakan begitu sahaja. Dek hasutan isteri kedua yang kononnya enggan bermadu, akhirnya confessor diceraikan dengan talak satu. Allahu. Benarlah kata orang, orang lelaki diuji ketika memiliki segala-galanya.
ASSALAMUALAIKUM admin. Saya guna fake account.
Hari ini saya diceraikan.
17 tahun dulu, kami sama-sama menuntut di sebuah universiti di utara tanah air. Saya junior, dia senior. Tiada langsung rasa cinta. Bermula dari kawan, bertukar menjadi kekasih. Kami rapat selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
Kami berkahwin pada usia yang muda dan penuh cabaran. Suami kerja cukup makan sahaja. Pernah saya kerja di kilang dengan syif 12 jam, tertidur di celahan mesin. Walaupun kami keduanya siswazah, pernah berhutang barang makan di kedai. Pernah juga baki wang hanya tinggal 10 sen dan masa ini dah ada anak. Saya rela bertahan asal masih bersama dengan orang tersayang.
Rezeki kami semakin baik, suami dapat kerja sebagai penjawat awam. Manakala saya rela sambung belajar untuk kesenangan hidup kami kelak. Wang dah semakin tebal, saya pun dah dapat gaji yang baik untuk membantu suami.
Betullah kata orang, orang lelaki diuji ketika senang. Pada waktu ini, suami sudah mula aktif melepak dan berkonvoi dengan kawan-kawannya. Skandal? Usah cakap, kaki tangan sudah mula naik ke muka dan badan saya. Tetapi saya masih bertahan lagi kerana memikirkan anak yang masih kecil.
Pernah kepala saya dijahit dan mata lebam disebabkan oleh dia. Rasa betapa bodoh dan naifnya saya pada masa itu. Nafkah anak-anak, suami sudah mula culas dan beri alasan banyak hutang yang perlu dibayar. Saya fikir, tak apalah dan redha lagi. Keadaan ini berterusan sehinggalah tahun lepas.
Suami terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kakinya patah dan dia terlantar selama enam bulan. Perit jerih air mata menguruskan dia dan anak-anak, usah cakaplah. Kawan-kawan cakap tak apa, besar pahala dan syurga buat saya. Saya tersenyum memikirkan ada hikmahnya.
Pernah saya tukarkan pampers di atas katil dan masa itulah saya dan suami sama-sama menangis. Saya beri kata-kata semangat;
"Walau apapun terjadi, walau awak lumpuh sekalipun, saya tetap akan jaga awak sehingga ke akhir hayat awak..."
Enam bulan kemudian, dia disahkan sihat dan boleh kembali bertugas seperti biasa. Bagaikan batu menghempap kepala, tiga bulan seterusnya saya mendapat perkhabaran yang suami sudah berkahwin dengan wanita lain di negara jiran. Ini bermaksud, sebaik saja dia sembuh dari kecederaannya, dia terus bernikah dengan 'X' yang masih lagi belajar di universiti tempatan. X berkahwin membelakangkan keluarganya.
Semenjak dari itu, hidup kami kucar kacir. Yang nombor dua lebih dominan dari nombor satu. Pelik kan? X minta suami ceraikan saya sebab dia enggan bermadu. Padahal siapa yang rela jadi madu? Allahu.
Saya masih cuba menaruh harapan, memperbaiki keadaan dan berdoa semoga suami berubah dan tinggalkan X. Namun anak-anak diabaikan dan saya menguruskan segala-galanya siang dan malam seorang diri. Selama satu tahun lima bulan saya bertahan, nampaknya jodoh setakat ini sahaja.
Hari ini suami telah melafazkan cerai talak 1 di hadapan hakim. Kes selesai dalam masa 10 minit tetapi telah menghancurkan rumahtangga yang dibina 14 tahun lamanya. Dengan itu saya faham bahawa dia sudah membuang kami dan memilih untuk meneruskan kehidupannya dengan budak hingusan itu.
Walaupun saya punyai kerjaya, rupa yang menarik (ini kawan yang kata) dan segala penat lelah menjaganya selama ini akhirnya dibalas seperti ini. Saya cakap pada dia, saya sudah puas hidup dengan dia kerana saya tiada hutang langsung dengan dia. Malahan dia yang banyak berhutang dengan saya.
Jatuhnya talak itu bermaksud dia sudah membuang saya dan anak-anak dan bermula dari hari ini saya juga akan membuang dia terus dari hidup saya. Hidup daripada susah, pengorbanan setinggi gunung bukan menjamin kebahagian sehingga akhir hayat. Tiada lagi rasa sayang untuk dia. Saya juga berhak untuk bahagia. Tak cukup baik lagikah saya?
Sumber: Kisah Rumah Tangga
from The Reporter http://ift.tt/2xzk6ro
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat http://ift.tt/2xvyl2L
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment