1 Jun lalu, seorang lelaki warga emas dilaporkan maut selepas basikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 26 tahun di Jalan Temiang-Pantai.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 8.20 pagi yang melibatkan kereta jenis Perodua Axia.
Wanita terbabit, Munirah Stapah @ Salleh, dikatakan dalam perjalanan ke Kajang, Selangor dari Jalan Pantai. Tiba di lokasi, Axia berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar mangsa, Khalid Mohd Isa, 72, di bahu kiri jalan.
Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Munirah yang bekerja sebagai pegawai penyelidik kemudian didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian mangsa.
Munirah bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Intan Syafinaz Roslin.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan M Shanmugavel, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya turut digantung selama sebulan. Hakim menetapkan kes disebut semula pada 21 Jun ini.
Sumber: Harian Metro, Utusan Malaysia
from The Reporter https://ift.tt/cMsbrGL
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/vb2G05u
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment