Setiap orang mempunyai pengalaman paranormal/mistik masing-masing. Ini sekadar perkongsian sahaja. Bagi yang lemah semangat, anda tidak digalakkan untuk terus membaca.
Setelah setahun lebih pejabat ditutup gara-gara pandemik Covid-19, entah kenapa pada bulan Mac 2021, boss suruh staff admin masuk pejabat mengikut giliran. Dalam sehari, hanya dua orang saja yang dibenarkan masuk ke pejabat. Staff admin keseluruhannya ada empat orang. Jadi minggu ini dua orang dari Team A dan minggu depan, dua orang dari Team B. Sementara, staff jurutera semua kena bekerja dari rumah. Aku dan setiausaha boss pun kena bekerja dari rumah juga.
Sebelum cuti raya, kerani aku pergi menghadap boss dan memaklumkan dia sudah sarat mengandung dan tidak larat nak datangg ke pejabat, lalu meminta keizinan untuk bekerja dari rumah.
Jadi, boss pun beri kebenaran untuk staff itu bekerja dari rumah buat sementara nak menunggu dia bersalin pada bulan Julai nanti. Sekarang, yang kena menjadi pak sanggup adalah aku. Nama aku dipetik oleh boss untuk datang ke pejabat dan menanggung tugas staff hamil itu tadi.
31 Mei 2021, aku masuk ke pejabat setelah sekian lama tak masuk. Bila aku masuk, tak ada banyak mana pun kerja. Bila rasa bosan, aku merayaplah ke Wing B. Pejabat aku ni besar, ada dua wing. Kawasan aku, staff admin dan boss besar di Wing A. Kawasan staff jurutera, bilik mesyuarat, surau pula berada di Wing B.
Masa aku berjalan-jalan di Wing B, lampu di situ tidak dinyalakan kecuali di bahagian laluan sahaja. Lagipun di kelilingi tingkap. Aku berjalan-jalan, berangan sambil tengok meja staff. Ushar-ushar kalau ada gambar, aku tengok. Inilah masanya nak melawat meja kerja diorang tanpa gangguan.
Selepas itu, aku lepak di depan tingkap melihat pemandangan di luar. Dah bosan, aku berjalan lagi sampai ke hujung Wing B. Waktu itu lebih kurang jam 12.20 tengah hari, cleaner datang tengok-tengok tong sampah di setiap meja kerja yang tuannya sudah lama tidak masuk ke pejabat.
Sambil-sambil dia mengelap meja, dia tegur aku. Aku cakap yang aku mengantuk, sebab itu berjalan-jalan di Wing B. Lagipun aku rindu suasana kerja macam dulu.
"Kalau akak mengantuk, tidurlah. Lagipun dah nak masuk waktu rehat kan?" katanya.
Aku sekadar senyum pada dia dan dia pun berjalan memeriksa tong sampah sebelum tiba-tiba mengalami batuk teruk tanpa henti. Aku dah cuak (yelah, takut simptom Covid), terus segera beredar dari situ, sementara dia sedang melayan 'batuk kokolnya' itu.
Tiba di meja, aku kembali menyambung kerja. Cleaner itu? Dia teruskan kerja dia.
1 Jun 2021. Boss pesan semua staff admin tak perlu masuk pejabat sebab surat kementerian belum diperolehi lagi.
2 Jun 2021. Aku dan seorang lagi staff masuk ke pejabat sebab dah dapat surat. Boss pun sama, masuk pejabat. Pagi masa aku dah sampai, aku call cleaner pejabat dan minta tolong dia pikulkan komputer aku dari kereta naik ke pejabat. Komputer aku tu seketul flat screen, tak ada CPU. Kalau ada CPU, tak ingin aku nak bawa balik.
Jadi, cleaner itu pun turun dan jumpa aku di tempat letak kereta. Bila dah sama-sama masuk ke pejabat, selesai pasang komputer, cleaner itu pun beredar nak buat kerja dia. Aku pula nak pergi ke tandas, berjalan sekali dengan dia dan masa itulah dia mula bertanya.
Cleaner: "Akak, saya mau tanya akak la. Hari Isnin hari tu, akak seorang saja ke staff perempuan yang masuk ke pejabat?"
Aku jawab, "Ye, akak seorang saja. Kenapa?"
Cleaner: "Macam ni kak, akak ingat tak masa saya kutip sampah kat belakang. Dan akak pun ada jalan-jalan kat belakang," soalnya.
"Okay, kenapa?"
Cleaner: "Akak tahu tak masa saya nak ambil sampah kat belakang dan lap meja dalam bilik meeting besar, masa saya masuk itu nampak ada seorang perempuan duduk dalam bilik meeting itu. Saya pun hairan kenapa dia duduk dalam tempat gelap, tak pasang lampu. Selepas itu saya tak mahu dia terganggu dan terus cakap maaf, terus saya keluar. Sampai malam tadi di rumah, saya asyik terfikir tentang perempuan itu kerana hairan. Saya pun tak ingat nak tanya akak hari itu."
Bila dengar cerita itu, berderau darah aku. Jantung berdegup kencang. Aku jawab, "Biar betul kamu ni? Kan yang datang bekerja kat pejabat ni ada tiga orang saja. Hari Isnin hari tu, cuma akak seorang je perempuan. Seorang lagi ketua kami, lelaki dan boss. Mana ada sesiapa lagi dah."
Berubah muka cleaner tu, terus tunjuk tangan dia dah meremang bulu roma.
Cleaner: "Tapi, yelah kak. Saya memang nampak dan hairan. Kenapa ada perempuan duduk dalam bilik meeting tak pasang lampu. Dia diam dan tunduk tetapi saya boleh nampak wajah dia, tak sama dengan staff di pejabat ni. Tapi tak gemuklah".
Cleaner pun bawa aku pergi ke bilik mesyuarat. Sambil berjalan itu aku pesan selepas ini nyalakan semua lampu di Wing B, jangan buat kerja dalam gelap. Kalau tiba-tiba rasa takut, panggil aku untuk temankan. Sampai di bilik mesyuarat, cleaner tunjukkan tempat perempuan itu duduk.
Cleaner: "Kat sinilah kak dia duduk, diam dan seakan tunduk."
Aku perhatikan tempat duduk itu adalah kerusi yang dipangkah dengan tanda 'X' (penjarakan sosial). Aku terkedu sekejap, dalam hati berkata "Sah bukan orang!". Kemudian aku tanya cleaner sama ada perempuan itu ada bawa atau buka laptop ke, sebab kalau betul ada orang nak tumpang buat kerja, mesti dia bawa laptop dan buka lampu bilik mesyuarat sebab kat luar bilik mesyuarat langsung tak dibuka lampu dan tak ada orang.
Cleaner: "Tak adalah kak, dia duduk diam-diam sambil kepala dia separuh tunduk. Saya tolak pintu bilik mesyuarat pun dia tak terkejut. Saya minta maaf kat dia pun dia tak jawab, tak bergerak pun kepala dia."
Selepas mendengar cerita dia, tak pasal-pasal aku dah menjadi penakut. Hari ini pun aku datang kerja. Masa aku nak letak surat di meja staff jurutera yang terperosok di Wing B pun, masa berjalan bulu roma meremang, biarpun dalam suasana yang terang benderang.
Serius aku cakap, sebelum zaman Covid-19 ini, aku selalu menjadi orang pertama masuk pejabat. Sebelum jam 7 pagi aku dah sampai, meronda dalam gelap di Wing B untuk buka lampu. Kemudian masuk ke surau wanita di antara Wing A dan B untuk membuta sampai jam 8 pagi.
Sebenarnya, masa aku membuta pun ada terdengar macam-macam bunyi yang sayup, bunyi yang tak masuk akal. Tetapi aku dah mengantuk sangat, aku tak endahkan bunyi-bunyian itu semua. Macam-macam bunyilah aku dengar, tetapi itu dulu-dulu. Tapi kalau aku terlebih berani, aku pergi juga mencari dari mana datangnya bunyi itu.
Sumber: Beruang Comel
from The Reporter https://ift.tt/2TGtubY
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2UodJ9V
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment