loading...

Thursday, 22 April 2021

Dah belasah 2 bodyguard sampai teruk, majikan mengaku tak bersalah & mohon dibicarakan


Dua lelaki terdiri daripada majikan, Chung Chee Yang dan pembantu peribadinya, Choo Hin Voon, yang masing-masing menghadapi lima dan dua pertuduhan berkaitan kes pukul dua pengawal peribadi, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang hari ini.


Chung dan Choo, masing-masing berusia 43 tahun, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P Sarulatha.


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di halaman rumah di Bukit Tinggi di sini antara 10.30 malam dan 11.30 malam pada 13 April lepas.


Bagi pertuduhan pertama, Chung didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pistol ke arah pengawal peribadinya, Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum penjara untuk tempoh sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.


Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Chung didakwa bersubahat dengan Choo, mengarahkannya untuk sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam, dengan menggunakan sebatang rotan.


Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 109 KK dibaca bersama dengan Seksyen 324 KK yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.


Untuk pertuduhan keempat, Chung juga didakwa mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan mangsa mengenai agama yang dianuti mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 298 KK dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.


Pertuduhan kelima, Chung didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 KK iaitu penjara satu tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.


Sementara itu, pembantu peribadinya, Choo menghadapi dua pertuduhan iaitu didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri menggunakan rotan.


Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 KK yang boleh dihukum sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua hukuman tersebut.


Sarulatha membenarkan Chung diikat jamin RM50,000 manakala Choo, RM20,000 masing-masing dengan seorang penjamin.


Mereka juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di Balai Polis dan menetapkan 23 Jun sebutan semula kes.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman manakala Chung diwakili peguam Abdul Hakeem Aiman dan peguam Loi Yap Loong mewakili Choo.


Media sebelum ini melaporkan dua pengawal peribadi cedera selepas dirotan dan diugut bunuh menggunakan pistol oleh majikan dipercayai akibat perselisihan faham berkaitan puasa.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/2RLARh0
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/32CB6NS
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...