loading...

Wednesday, 21 November 2018

Vape, shisha bernikotin juga dilarang di semua premis makanan mulai 2019


Rokok elektronik (vape) dan shisha yang mengandungi nikotin akan dimasukkan dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan tahun hadapan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurutnya, larangan merokok di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 melibatkan rokok dan semua hasil tembakau yang mempunyai nikotin termasuk shisha dan vape.

“Peraturan itu jelas jika mempunyai nikotin akan tertakluk (pada larangan tersebut), dengan kata lain apabila kita buat penguatkuasaan kita akan lihat sama ada vape atau shisha itu mempunyai kandungan nikotin atau tidak.

Jika kita dapati tiada nikotin ia tidak termasuk dalam larangan itu nanti,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program temu bual Program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, malam tadi.

Bermula 1 Jan 2019, peraturan larangan merokok akan dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Dengan penguatkuasaan peraturan itu, perokok ditahan di kawasan larangan akan didenda RM10,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai kemampuan kementeriannya melaksanakan larangan tersebut, Dr Dzulkefly berkata mereka mempunyai anggota yang mencukupi bagi melaksanakannya.

“Kita ada keupayaan, aktiviti penguatkuasaan ini akan dijalankan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran dengan kekuatan 208 anggota dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran seramai 4,800 anggota di seluruh negara,” katanya.

Sebelum ini Dr Dzulkefly dipetik sebagai berkata rokok elektronik dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jan tahun depan.

Beliau juga dipetik berkata bagaimanapun kementerian masih dalam peringkat perbincangan untuk menguatkuasakan peraturan melibatkan vape dan shisha dalam masa terdekat. - Bernama


from The Reporter https://ift.tt/2Q9J9wU
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2A7TSO8
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...