loading...

Sunday, 25 November 2018

Suami isteri bercerai kerana tersalah beli ikan selayang


Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu diberitahu tersalah beli ikan selayang, campur tangan keluarga dan kurangnya memahami erti sebenar perkahwinan dikesan antara punca perceraian yang berlaku dalam kalangan umat Islam di negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, situasi ini sekali gus memperlihatkan ada kalangan pasangan Islam di negeri ini yang kurang pengetahuan dan jahil mengenai ilmu perkahwinan hingga hal sebegitu remeh boleh menjadi punca perceraian.

"Kerajaan Terengganu dengan ini akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah perceraian dalam kalangan umat Islam di negeri ini termasuk memperkemaskan modul keluarga Islam untuk diterapkan kepada masyarakat.

"Kerjasama antara Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera dan Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) juga akan dilakukan bagi menilai semula 10 modul pelaksanaan program pembangunan keluarga Islam bagi menyokong usaha itu," katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan DUN di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, hari ini.


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung itu menjawab pertanyaan tambahan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) yang ingin tahu apakah punca perceraian dan keberkesanan program-program yang diatur bagi mengatasi masalah itu di negeri ini.

Menjawab pertanyaan asal Roslee yang ingin tahu jumlah pasangan Islam dan bukan Islam yang bercerai di Terengganu, beliau berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2017, jumlah pasangan Islam yang bercerai adalah sebanyak 1,383 pasangan namun jumlah itu berkurangan kepada 1,219 pasangan bagi tempoh yang sama pada tahun ini.

"Bagi pasangan bukan Islam yang statistik didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara bagi tempoh yang sama (Januari hingga Jun 2017) mengikut pecahan bagi kaum, Cina bagi lelaki adalah seramai 16 orang, India (seorang), bagi kaum Cina perempuan 21 orang, manakala kaum India, perempuan (21) dan lain-lain seorang," katanya. - Bernama


from The Reporter https://ift.tt/2AolXB9
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2zpAnkR
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...