loading...

Thursday, 4 March 2021

Selebriti sebar fahaman anti vaksin adalah kurang bijak, 'jual ikan'


Golongan selebriti di negara ini digesa tidak menyebarkan fahaman anti vaksin sebaliknya memanfaatkan pengaruh dimiliki untuk membantu kerajaan menggalakkan pengambilan vaksin dalam memerangi penularan Covid-19.


Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkata, tindakan segelintir penggiat seni yang menolak serta menyebarkan fahaman anti vaksin sebagai satu langkah kebelakang yang kurang bijak.


"Industri seni antara paling terjejas sejak pandemik melanda, jadi seharusnya anak seni itu sendiri mengerti bahawa mungkin dengan suntikan vaksin ini dapat membantu kita kembali hidup normal sekaligus bebas bekarya dan mencari rezeki," katanya.


Jelas beliau lagi, kerajaan sudah lakukan yang terbaik termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menunjukkan contoh dengan mengambil suntikan vaksin.


"Jadi kenapa kita masih mahu menolak sedangkan perkara itu dapat menghindarkan diri kita dan masyarakat daripada jangkitan Covid-19?," katanya lagi.


Sementara itu Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi berkata, pihaknya menghormati keputusan peribadi individu untuk menolak vaksinasi namun mereka seharusnya tidak mementingkan diri dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh mempengaruhi peminat untuk tidak mendapatkan suntikan itu.


"Vaksin ini ialah salah satu ikhtiar kita menerusi pihak kerajaan yang mahu melindungi rakyat. Kita sepatutnya sokong dan gunakan kelebihan pengikut yang banyak di platform media sosial untuk membantu menyebarkan kebaikan dan keperluannya.


"Selebriti ini ada pengikut ada peminat tersendiri, apa yang mereka perkatakan, apa yang mereka lakukan itu diikuti rapat peminat dan atas dasar itu saya menyeru setiap individu untuk lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan vaksin terutama dalam akaun media sosial masing-masing," katanya.


Zed Zaidi turut beranggapan tindakan menolak suntikan vaksin berpunca daripada kurangnya pendedahan dan informasi berkaitan perkara berkenaan selain mendapatkan maklumat dari sumber yang tidak tepat.


Tular di media sosial kebelakangan ini beberapa individu selebriti tempatan yang menolak vaksinasi dilaksanakan kerajaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dengan alasan ketidakpastian kandungan vaksin.


Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bertemakan "Lindung Diri, Lindung Semua" secara rasmi bermula 24 Januari lalu dengan mensasarkan pemberian imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/30pjYdn
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/3kN0RmS
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...