Seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun ditemui meninggal dunia di dalam tong air di kediamannya di Taman Krubong Jaya dengan kesan kecederaan dan lebam di badan pada petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, mangsa dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya.
Pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki pada jam 4 petang yang memaklumkan anaknya lemas di dalam tong air. Siasatan di tempat kejadian mendapati, terdapat kesan lebam serta kecederaan pada anggota badan mangsa.
Ekoran itu, pasangan suami isteri terbabit yang berusia 32 dan 38 tahun direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Melaka untuk dibedah siasat.
Sementara itu, ibu angkat mangsa, Norlida Hassan, 48, terkejut dengan berita pemergian mangsa yang berlaku secara tiba-tiba selepas kanak-kanak itu tidak lagi tinggal bersama dengan mereka.
Menurut Norlida, seluruh ahli keluarganya sangat terkesan dengan kejadian itu dan sedih sekiranya kematian mangsa disebab didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya sehingga hilang nyawa.
"Saya jaga dia daripada kecil (sejak usia dua bulan) seperti anak sendiri. Tak pernah rasa beban malah bersyukur ada anak angkat sepertinya.
"Dia anak yang petah bercakap, bijak orangnya. Jadi pemergiannya memberi kesan bukan kepada saya seorang, tetapi juga suami dan anak lain iaitu kakak dan abangnya.
"Kalau kena marah sikit sekalipun, dia akan menangis, memanggil Umi, jadi tidak kasihan ke individu itu kepadanya," katanya sebak dan tidak dapat menahan tangisan, memetik laporan dari Harian Metro.
Difahamkan, sebaik saja mendapat perkhabaran itu, Norlida sekeluarga terus pergi ke Melaka malam tadi.
Sementara itu, anaknya, Tuhfah Nazihah Md Tarmidi, 26, berkata, kali terakhir mereka berhubung dengan mangsa melalui panggilan telefon pada Oktober lalu, beberapa minggu sebelum diserahkan kepada ibu kandungnya.
"Suaranya masih riang seperti biasa, cuma selepas itu dia tidak dapat lagi dihubungi kerana pelbagai alasan diberi ibu kandungnya.
"Saya mendapat tahu mengenai kematiannya selepas dihubungi jiran yang juga pengasuhnya pada petang semalam yang dia meninggal dunia akibat lemas tetapi ada kesan kecederaan pada badannya.
"Kami semua terkilan dan sedih, malah tidak sangka dia meninggal dunia dalam keadaan sebegitu," katanya.
Menurut Norlida lagi, dia menyesal kerana menyerahkan mangsa kepada ibu kandungnya. Namun dia faham mungkin ibu kandungnya menanggung rindu menyebabkan dia rela dan membiarkan mangsa kembali ke pangkuan ibu kandungnya.
"Tetapi saya tidak menyangka, anak yang ditatang bagai minyak penuh hilang sekelip mata dalam keadaan sebegitu," katanya.
Norlida juga tidak menyangka ibu kandung mangsa meluahkan hasrat untuk menjaganya semula tahun lalu dan selepas menyerahkan anak angkatnya itu, dia tidak lagi berpeluang untuk bertemu, malah talian telefon juga telah disekat.
"Ada sekali kami berpeluang bertemu dengannya secara senyap-senyap di kedai makan di Rawang ketika Adik (mangsa) dibawa bapa tirinya berjumpa kami dan Adik pernah cakap dia rindu Umi," katanya.
Sumber: Harian Metro, Bernama
from The Reporter https://ift.tt/3pxax6x
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/3ctc0H9
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment