loading...

Tuesday, 15 December 2020

'Yang suka langgar lampu merah, siaplah korang' - PDRM lancar Ops Lampu Merah di seluruh negara


Bagi pengguna jalan raya yang suka mengabaikan peraturan dan tidak sayangkan nyawa, anda mungkin akan dikenakan tindakan undang-undang selepas ini kerana Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah melancarkan Operasi Lampu Merah di seluruh negara. 


Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, operasi yang telah dilancarkan bermula semalam itu dilaksanakan untuk mengesan golongan yang suka melakukan kesalahan melanggar lampu merah, terutamanya di kalangan penunggang motosikal termasuk penghantar makanan. 


"JSPT memandang serius sikap dan trend pemanduan ini yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan serta menimbulkan kegusaran kepada masyarakat," katanya. 


Berdasarkan statistik PDRM berhubung kesalahan langgar lampu isyarat merah pada 2019, sebanyak 69,267 saman telah dikeluarkan dengan pecahan motosikal 32,657, kereta 29,873, lori 2,808 dan lain-lain kenderaan 3,929. 


Bagi tahun 2020 pula (Januari - November), 52,170 saman dikeluarkan dengan pecahan motosikal 26,764, kereta 20,751, lori 2,208 dan lain-lain kenderaan 2,447.


Azisman menjelaskan, PDRM melaksanakan operasi tersebut bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada para pengguna jalan raya agar mematuhi lampu isyarat untuk keselamatan semua pengguna. 


"Penunggang motosikal atau kenderaan lain yang didapati melakukan kesalahan akan diambil tindakan saman serta-merta atau direkodkan butiran kenderaan terlibat bagi tindakan susulan saman," katanya. 


Pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh dikenakan tindakan di bawah kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan dan denda tidak melebihi RM2,000. 


Sumber: Kosmo Online



from The Reporter https://ift.tt/34eHPyI
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/3nqfWej
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...