Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atau penjara enam bulan terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakimannya berkata, "Tertuduh dijatuhkan hukuman 12 bulan dan denda RM2 juta. Sekiranya ingkar, dia perlu menjalani hukuman penjara enam bulan lagi. Hukuman itu akan bermula dari tarikh penghakiman.".
Hakim berkata, Tengku Adnan bukanlah pegawai tinggi kerajaan dan ahli politik pertama yang disabitkan dengan kesalahan dan semua orang adalah sama di bawah undang-undang. Beliau tidak menafikan yang Tengku Adnan telah berkhidmat untuk negara selama beberapa tahun tetapi undang-undang perlu ditegakkan bagi memberi pengajaran kepada yang lain.
Terdahulu, peguam kepada Tengku Adnan, Datuk Tan Hock Chuan meminta penangguhan pelaksanaan hukuman dan menyatakan anak guamannya itu melakukan kesalahan pertama dan memberi sumbangan besar kepada negara sebelum ini iaitu 17 tahun berkhidmat di Kabinet dan Parlimen.
Tan juga meminta mahkamah untuk tidak menjatuhkan hukuman penjara tetapi memberikan denda kurang dari RM2,000 agar anak guamnya itu dapat mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Putrajaya.
Tan berkata, mahkamah harus mempertimbangkan majoriti tipis di Parlimen di mana kerajaan sedia ada pada waktu ini akan terjejas sekiranya tertuduh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.
Hakim kemudian bertanya kepada peguam berkenaan, apakah mahkamah harus mementingkan perkembangan politik di negara ini dan Tan menjawab, perkembangan politik tidak seharusnya menjadi perhatian tetapi untuk tujuan menjatuhkan hukuman, keputusan dari mahkamah akan memberikan kesan.
Selain itu, Tan memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya menghidap darah tinggi dan kolestrol tinggi dan bergantung kepada ubat-ubatan sejak sekian lama. Menggunakan alasan itu, Tan memohon anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara.
Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim bagaimanapun membantah dan menegaskan bahawa hukuman yang dipinta oleh pihak pembelaan tidak sesuai dalam kes tersebut.
"Dalam kata-kata tertuduh sendiri, RM2 juta itu hanya wang saku kepadanya. Hukuman itu perlu agar menjadi pengajaran kepada yang lain untuk tidak mengulanginya," katanya.
Julia juga mengatakan, Ahli Parlimen datang dan pergi untuk setiap pilkihan raya umum atau kecil dan kedudukan itu akan mempunyai penggantinya.
Hakim kemudian bertanya kepada pendakwaraya apakah jumlah denda yang sesuai untuk dikenakan dan Julia menjawab, "tidak kurang dari jumlah yang dikenakan terhadapnya."
Dia juga memberi contoh kes rasuah bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang dijatuhi hukuman penjara satu tahun kerana rasuah pada tahun 2011.
Tan kemudian berdiri dan menjawab, usia dan kesihatan anak guamnya itu yang perlu dipandang.
"Alasan utama saya untuk meminta mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara bukan kerana hilang kelayakan, tetapi usia dan kesihatannya," katanya.
Sumber: The Star
from The Reporter https://ift.tt/3rqt1Hc
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/3mEcqvG
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment