loading...

Wednesday, 9 September 2020

Pemilik kilang haram diberi peluang untuk buat proses pemutihan sehingga hujung tahun - MB Selangor


Kerajaan Negeri Selangor memberi peluang kepada pemilik tanah dan kilang yang beroperasi tanpa kebenaran untuk membuat proses pemutihan sehingga hujung tahun ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata jika masih ada mereka yang ingkar berbuat demikian dalam tempoh itu, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk merobohkan struktur bangunan yang memberi impak kepada pencemaran alam sekitar.

“Kami sudah beri tawaran untuk mereka (pemilik tanah dan kilang haram) pulihkan (jalankan proses pemutihan) sejak tahun 2008 lagi. Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terakhir pada 2018 memutuskan agar tindakan itu dipanjangkan sehingga 2020. Lepas 2020 kami akan ambil tindakan perobohan dan sebagainya.

“Tetapi kalau keadaan mendesak dan saya rasa kami boleh laksanakan lebih pantas menjelang bulan November atau Disember ini, ataupun awal tahun depan kami sendiri akan laksanakan secara menyeluruh proses pemutihan tersebut,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan sempena Menjunjung Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Bagi Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Kuala Langat, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata beliau akan mempengerusikan Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor sebagai usaha kerajaan negeri mengurangkan impak pencemaran terhadap sumber air di Selangor.

“Dalam bab ini saya sendiri akan ketuai jawatankuasa itu dalam masa terdekat dan kali ini kami akan gabungkan teknologi pemantauan sungai seiring dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai agensi pemantauan sumber air.

“Kami juga akan melaksanakan usaha membersihkan kawasan sungai, pengosongan rezab-rezab sungai yang dibangunkan oleh infrastruktur dan bangunan yang tidak mendapat kebenaran,” katanya.

Amirudin juga berkata pihaknya turut menjunjung kasih titah Sultan Sharafuddin semalam yang menitahkan pihaknya supaya mengambil beberapa tindakan berhubung isu berkenaan kerana baginda khuatir sekiranya masalah air berterusan, rakyat akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan seterusnya menjejaskan keharmonian sosial.

“Kami memang lakukan cuma kali ini atas titah baginda, semua pihak dan jabatan malah rakyat juga harus dilibatkan dalam proses pemeliharaan dan pemuliharaan sumber bekalan air kita,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mengisytiharkan pemasyhuran naik taraf Majlis Daerah Kuala Langat kepada MPKL secara rasminya hari ini atas perkenan Sultan Sharafuddin dan turut menggunakan imej logo perbandaran yang baharu.

Katanya, pada bulan hadapan juga Majlis Pembandaran Subang Jaya juga akan dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya dan beliau berharap agar mutu kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan seiring dengan peningkatan kualiti kerja,” katanya.  

Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/35hYOkL
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/32caBiD
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...