loading...

Thursday, 3 September 2020

'Cikgu tolong ajar dia elok-elok ya, dia dah tiada ayah untuk mengadu' - Berderai air mata netizen baca perkongsian guru ini


Kisah anak yatim ini membuatkan ramai yang sedih dan mengalir air mata. Ditambah pula dengan pesanan mendalam Cikgu Mohd Fadli Salleh sehingga menyentuh jiwa. 

Murid bernama Iskandar ini begitu gemar dengan Cikgu Mohd Fadli Salleh. Pulang saja ke rumah, pasti akan diceritakan kepada ibunya. Di mata orang lain, mungkin itu perkara biasa. Tetapi bagi yang pernah berada di posisinya, ia jelas menunjukkan si anak itu dahagakan kasih sayang seorang insan bergelar bapa. 

INI ISKANDAR. Anak yatim yang kematian ayah bertahun-tahun sudah. Tahun lepas, Iskandar bersungguh-sungguh nak sambut hari lahir aku. Berpakat dia dengan seluruh murid dalam kelas kumpul duit RM3 seorang hanya untuk menyambut hari lahir aku di sekolah.

Sebaik aku masuk kelas nak mengajar macam biasa, murid-murid buat surprise menyanyi lagu Happy Birthday dan menarik tangan aku ke belakang untuk memotong kek. Iskandar setia duduk di sebelah aku. Perlahan dia berbisik,

"Cikgu. Saya ada hadiah untuk cikgu, tapi jangan buka sekarang. Saya malu".

Malu-malu dia mengeluarkan satu kotak kasut terpakai yang disorok di belakang badan kemudian menyerahkan pada aku. Lepas tu cepat-cepat dia lari menyorok di belakang kawan-kawan yang lain.

"Iskandar! Meh sini," panggil aku.

Patuh dia. Terus datang ke mari.

"Terima kasih atas hadiah ini. Cikgu sangat hargainya. Meh duduk sini sebelah cikgu. Makan sama-sama. Cikgu nak suapkan awak".

"Eh tak nak la cikgu. Malu," balasnya.

"Nak malu apanya? Meh duduk sini," ujarku lagi.

Akhirnya Iskandar patuh, datang dengan segan. Segan juga bila aku suapkan makan. Namun jelas terpancar dia sangat gembira.


Teringat aku setiap kali Hari Terbuka, hari di mana ibu bapa datang ke sekolah bertemu guru. Ibunya akan datang cari aku walau aku bukan guru kelas Iskandar. Ibunya agak berusia, Iskandar ini anak bongsu. Setiap kali jumpa aku, ibunya mesti menitis air mata.

"Cikgu. Tolong tengok Iskandar ya. Iskandar dah tak ada ayah. Lama sudah. Acik la ibu, Acik la ayah selama ini.

"Namun sejak cikgu ajar kelas dia, cikgu belikan baju untuk dia, belikan kasut, beli seluar, belanja makan, hari-hari Iskandar pulang dia akan bercerita tentang cikgu."

"Dia sangat sayang dan hormat pada cikgu. Balik rumah mesti akan cerita, 'Cikgu Fadli itu. Cikgu Fadli ini'.

"Kena marah pun dia cerita, cikgu tak datang sekolah pun dia cerita. Suka betul dia pada cikgu. Cikgu tolong la ajar dia elok-elok ya. Dia dah tiada ayah untuk mengadu," kata si ibu sambil mengelap air mata.

Aku mengangguk faham. Memang selama ini semua anak-anak yatim dan miskin di sekolah ini di bawah radar aku sentiasa.

Setiap akhir tahun, set pakaian lengkap serba baharu aku akan belikan. Beg sekolah lagi. Aku cari dana bantuan untuk bantu masa raya dan sentiasa ada sahaja kiriman sedekah buat mereka sepanjang tahun.

Sebaik pulang ke rumah, baru aku buka hadiah yang Iskandar bagi. Dalam kotak itu ada mainan terpakai sahaja. Ada monyet, ada lori mainan dan sikat perapi.

Agaknya anak sebesar ini tidak tahu nak beri apa. Tiada pula duit nak beli hadiah berjenama. Maka dia main ambil sahaja mainan yang ada di rumah letak dalam kotak. Agaknya begitu.


Punya dia nak gembirakan aku. Punya dia ingin hadiahkan aku sesuatu sempena hari lahir aku. Sebak sungguh masa buka kotak hadiah ini.

Dan tahun ini, aku mencari-cari wajah Iskandar di celahan ratusan wajah murid lain namun tak ketemu.

Dari awal tahun mencari, sehingga aku mendapat khabar bahawa Iskandar sudah pun berpindah ke Perak tanpa sempat kami bertemu untuk mengucap selamat tinggal, Iskandar hilang begitu saja.

Semoga Iskandar terus maju jaya di tempat baharu dan semoga Iskandar membesar menjadi anak yang soleh, berjaya dan berjasa suatu hari nanti.

Ingat selalu pesan cikgu:

"Cikgu tak kisah jika suatu hari nanti kalian lupa nama cikgu, lupa wajah cikgu. Cikgu cuma hendak kalian sentiasa ingat, saat kalian hari ini anak yatim, saat hari ini kalian dari keluarga miskin, ada orang asing yang tiada hubungan persaudaraan pun dengan kalian datang membantu.

"Saat kalian membesar kelak, jadilah seperti orang itu. Membantu sesiapa sahaja tanpa syarat. Sentiasalah sebarkan kebaikan dan kasih sayang".

#MFS

- Kasih tanpa ikatan -

Sumber: Cikgu Mohd Fadli Salleh



from The Reporter https://ift.tt/3hYW0MW
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/3boi4hH
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...