loading...

Wednesday, 24 October 2018

'Tun Mahathir, kembalilah ke pangkuan UMNO' - Annuar Musa


Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menyertai UMNO, selepas Mahathir terdahulu mempelawa anggota UMNO menyertai BERSATU dalam majlis Bicara Minda anjuran Sinar Harian pada 22 Oktober lalu. 

"Sebaliknya, Umno yang barangkali harus membuat tawaran balas iaitu menjemput Tun (Dr Mahathir Mohamad) dan ahli BERSATU untuk menyertai Umno.

"Sesungguhnya amat ramai ahli Umno, termasuk saya sendiri, amat sayang dan menghormati Tun (Dr Mahathir) dengan hati yang tulus ikhlas. Insya Allah, Umno itu tidak akan mati. Apa yang buruk, kita perbaiki bersama.

"Umat Melayu dan Islam akan lebih bersyukur kiranya ini terjadi. Sirih pulang ke gagang, belut pulang ke lumpur," katanya.

Annuar berkata, meskipun parti itu hilang pemimpinnya, namun 3.6 juga ahli UMNO tetap tidak akan melompat ke parti lain kerana UMNO telah berjaya menghapuskan politik wang. 

"Yang sering bermasalah dalam Umno adalah pemimpinnya, yang bertukar parti adalah pemimpinnya, yang berebut kuasa adalah pemimpinnya, yang rasuah adalah pemimpinnya dan diseret ke mahkamah adalah pemimpinnya.

"Justeru ahli Umno reda hilang pemimpinnya, namun mereka tidak menukar partinya. Politik wang sudah dihapuskan dan kini politik wang menjadi amalan parti lain yang berhijrah dari Umno," katanya.

Dalam pada itu, Annuar juga mendakwa BERSATU lemah dan mengambil contoh pembubaran BERSATU di Negeri Sembilan, sekali gus mengandaikan parti baharu itu tidak mendapat sambutan dari rakyat terutamanya ketika PRU14 lalu. 

Bagaimanapun, perjuangan orang Melayu dan umat Islam akan menjadi lebih stabil, kuat dan berkesan sekiranya Mahathir kembali ke UMNO. Annuar meramalkan BERSATU akan berdepan dengan masalah selepas Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan adalah amat berbahaya untuk ahli UMNO menyertai BERSATU. 

"Misalnya ahli Umno di Negeri Sembilan, tentu sukar kerana BERSATU di sana terpaksa dibubarkan. Begitu juga di negeri-negeri lain di mana BERSATU sangat lemah, terlalu kecil dan tiada sambutan daripada rakyat (pada PRU14).

"Perjuangan orang Melayu dan umat Islam serta rakyat Malaysia di bawah Tun (Dr Mahathir) akan menjadi lebih stabil, kuat dan berkesan apabila Tun diperkasakan melalui wadah parti Umno dan bukannya BERSATU.

"Sangatlah merbahaya bagi ahli Umno menyertai BERSATU kerana BERSATU tanpa Tun (Dr Mahathir) menjadi PM nanti, bakal lebih terhimpit lagi.

"Presiden BERSATU (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga tersangat uzur walau kita mendoakan kesihatannya pulih.

"Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran negara dan Dr Mahathir sudah tiada lagi, BERSATU bakal bermasalah lebih parah lagi," katanya.

Sumber: MalaysiaKini


from The Reporter https://ift.tt/2yYwm5O
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2EG2IrV
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...