Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan pesawat Lion Air terhempas di perairan Karawang, Jakarta Utara.
Ketua Bahagian Kerjasama dan Perhubungan Awam Perhubungan Udara Indonesia, Sindu Rahayu berkata pesawat yang membawa 181 penumpang dan tujuh anak kapal itu dilaporkan terhempas di koordinat 05 46.15 S - 107 07.16 E, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi tadi.
Pesawat JT610, penerbangan ke Pangkal Pinang di Pulau Bangka Belitung, Indonesia itu dilaporkan terputus hubungan selepas 10 minit berlepas.
Kapten pesawat itu, Bhavye Suneja dilaporkan menghubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta untuk berpatah balik, namun kemudiannya terputus hubungan dengan menara kawalan, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Pangkal Pinang jam 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).
Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BASARNAS) menerima laporan bahawa pegawai kawalan trafik udara terputus hubungan dengan pesawat Lion Air dari Jakarta sejak pagi tadi.
Pegawai di Tanjung Priok, Utara Jakarta, Suyadi memberitahu The Jakarta Post, beliau dimaklumkan pada jam 6.45 pagi (waktu tempatan) berhubung penemuan sebuah pesawat oleh bot tunda, AS Jaya II yang disyaki sebagai milik Lion Air di Tanjung Bungin di Karawang, Jawa Barat.
“Kami mendapati hubungan sudah terputus dengan pesawat Lion Air sejurus selepas ia meninggalkan Jakarta.
“Pada jam 7.15 pagi (waktu tempatan), bot tunda melaporkan menemui serpihan pesawat di lokasi kejadian,” kata Suyadi yang menambah, sehingga jam 9 pagi (waktu tempatan), mereka masih tidak menerima sebarang laporan mengenai penumpang dalam pesawat itu.
Difahamkan, Pesawat Lion Air JT610 yang terhempas awal pagi tadi adalah pesawat baru yang memulakan operasinya sejak Ogos lalu, kata Kumpulan Lion Air. Pesawat berkenaan dipercayai karam apabila terhempas di Laut Jawa selepas meninggalkan Jakarta ketika dalam perjalanan ke hab perlombongan bijih timah Indonesia.
Lion Air dalam satu kenyataan memberitahu, kedua-dua juruterbang dan pembantunya memiliki jumlah penerbangan sebanyak 11,000 jam dan dianggap sebagai individu berpengalaman dalam mengendalikan pesawat.
Sementara itu jurucakap Boeing berkata, syarikat berkenaan sudah dimaklumkan mengenai nahas itu dan memantau rapi setiap perkembangan.
Sementara itu jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata, pihak kedutaan sedang berusaha mendapatkan maklumat lengkap berkenaan senarai penumpang pesawat itu.
Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada rakyat Malaysia turut terbabit.
Sumber: Bernama, Reuters, Berita Harian, Agensi
from The Reporter https://ift.tt/2zaPZrp
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2AwcqJB
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment