loading...

Wednesday, 4 April 2018

'Kalaulah boleh putar semula masa' - 12 tahun si ibu terlepas moment berharga bersama anak sulungnya


“Bila Allah hantar ujian kesihatan pada saya beberapa tahun lepas, saya rasa terpukul sekali lagi. Saya diuji menghidap slipped disc teruk sehingga tidak boleh berjalan“

Jika ditanya apakah harta yang bernilai pada seseorang? Jawapannya sudah pasti anak-anak. Anak-anak adalah penyeri kepada kehidupan seharian kita dan amanah yang Allah berikan kepada kita untuk dijaga dengan penuh kasih sayang. 

Tetapi, adakah kita sebagai ibu bapa sentiasa berpeluang memenuhi masa bersama dengan anak-anak?  Kos hidup yang semakin tinggi ini, menjadikan kebanyakan ibu bapa berlumba-lumba untuk menambah pendapatan tidak mengira waktu bagi membesarkan anak-anak.

Maya Amir berkongsikan pengalamannya sendiri yang kecewa dengan sikapnya yang telah terlepas saat melihat perkembangan anaknya. Dia berbuat demikian kerana mengejar kerjaya dan ingin membantu suaminya menambah pendapatan. Dia berasa sedih dan cuba mengingat kembali tetapi gagal. 

Setelah anaknya sudah besar, dia mula merasa kehilangan. Pada saat itu juga, dia mula sedar tentang keadaan ibu bapanya dan juga ibu mertuanya yang sudah menjangkau usia 70 tahun.  Maya turut menitipkan pesanan agar menggembirakan hati orang yang tersayang dan usah bimbang dengan rezeki Allah! 

Kadangkala Allah menghantar ujian bukan untuk menyakiti, tetapi menguji kita untuk berfikir dan sedar kesalahan yang kita lakukan.

SEMALAM dia whatsapp saya hantar gambar ni, "Mama, cool tak Danial?"

Ini anak sulung saya. Sekarang dia dah berumur 17. Semasa dia kecil, saya terlalu sibuk dengan bekerja sehingga pulang ke rumah pada waktu malam. Dia orang terakhir yang tinggal di rumah babysitter. Anak-anak jagaan lain sudah balik ke rumah masing-masing. Muka dia sayu tapi dia anak sulung yang patuh. Dia tak banyak kerenah dan tak penah membentak atau menangis kalau saya lambat mengambilnya dari rumah babysitter . 

Alhamdulillah rezeki saya dapat babysitter yang baik. Terima kasih Allah hantar Kak Lela pada saya yang telah menjaga anak-anak saya selama 10 tahun.

Saya kasihan pada anak ini. Sungguh! Tapi zaman muda saya asyik fikir kerja, kerja, kerja sahaja. Kerja pulak demanding. Otak fikir nak bina career. Kayanya tak jugak. Haha! Duduk di bandar besar kalau seorang sahaja bekerja agak mencabar. Jika berhenti kerja, tak tahu business apa yang perlu dibuat dan mula memikirkan gaji suami tidak akan cukup untuk menampung keperluan kami.

Bila anak ini masuk sekolah rendah, kami keluar rumah seawal jam 6.15 am. Kami keluar awal sebab mahu hantar ayahnya ke kastam JB-Singapore sebelum hantar anak ini ke sekolah. Rumah kami jauh jadi perlu keluar awal pagi selepas Subuh. 

Bila dia dah  naik tahap dua, bertambah kasihan padanya. Penat pergi sekolah pagi dan sekolah petang. Sekolah petang habis pukul 6.30 pm. Saya ambil dia di sekolah. Sementara tunggu ayah dia sampai Kastam JB, kami makan dan dia buat homework dalam kereta. Ya semuanya dalam kereta. Bila melihat wajah penat dia ketika itu, saya rasa sungguh sayu dan rasa bersalah sangat. 

Tiba-tiba semasa umur dia 13 tahun, dia dapat tawaran ke sekolah asrama di Perak, saya rasa macam terpukul. Tiba-tiba saya rasa kehilangan yang amat sangat. Rasa kosong. Apabila masuk ke bilik dia, rasa kosong. Jiwa saya kosong. Baru saya sedar saya terlepas melihat "pembesaran" dia.  Selama 12 tahun saya terlepas moment tu. Saya cuba recall moment dengan dia. Kosong! Terpaksa bukak album lama.

Oleh kerana dia anak sulung, saya admit saya tegas dan agak serious dengan dia. Kami jarang berbual semasa dia kecil. Soalan saya banyak berkisar buat apa kat sekolah? Belajar apa kat sekolah? Ruginya saya. 

Percaya  atau tidak, selepas hantar dia ke asrama, saya tak pernah menangis sebab rindu. Tapi satu-satunya perkara yang buat saya menangis sebab saya rindu moment yang saya terlepas sebelum tu. Banyak sangat dah Tuhan bagi nikmat. Saya teralpa amanah yang seorang ni.

Kalaulah boleh putar semula masa. I swear I will! Rasa ralat. Yes! Rasa menyesal. Yes! Kita ni hamba. Lemah. Tidak ada daya upaya. Banyak khilaf. Dunia tempat ujian. Selalu sangat kita terpesong sana sini. Kadang-kadang di luar kawalan. 

Kita kerja keras dengan niat nak besarkan anak-anak. Tapi kadang-kadang terlupa pada anak-anak yang tengah membesar ni dan terlupa juga pada mak ayah kita yang semakin tua di kampung. 

Hari tu saya baru tersedar mak abah saya dah nak masuk 70 tahun. Mak mertua pun dah 70 tahun. Allahu! 70 tahun. Saya lihat urat-urat tua timbul di tangan mak abah membuatkan hati saya bertambah sayu. 

Bila Allah hantar ujian kesihatan pada saya beberapa tahun lepas, saya rasa terpukul sekali lagi. Saya diuji menghidap slipped disc teruk sehingga tidak boleh berjalan. Jadi saya putuskan, sudahlah Maya! Stop thinking hal dunia berlebih-lebih. Serah! Bila serah pada Tuhan. Semuanya jadi lebih mudah. Tuhan tu dah atur elok-elok dah jalan kita. 

Jadi, sebenarnya kita kerja untuk apa? Kita nak kejar apa? Nak compete dengan siapa? Saya tanya soalan ini pada diri sendiri. Hidup bersederhana lebih menenangkan. Apabila kerja selesai, pulang ke rumah dan senyum pandang pada anak. Ada banyak perkara mereka nak berkongsi setelah seharian di sekolah.

Gembirakan hati mereka tu satu rezeki. Buatlah. Nanti Tuhan hantar berdebuk-debuk rezeki lepas tu. And jangan lupa jadi the best khalifah sebab Syurga tu ultimate goal kita.

Usah khuatir kepada rezeki. Sebab Tuhan Maha Mencukupkan.

‎وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

“Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya” (QS. Ath Tholaq: 3).

Serah saja pada si Dia Pemilik Kerajaan Langit dan Bumi. Ya Danial! Awak dan adik adalah perkara paling cool dalam hidup Mama.

Sumber: Maya Amir


from The Reporter https://ift.tt/2EifszF
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/2GV8KVy
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...