Kempen mengangkat bendera putih bagi pihak yang terputus bekalan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin mendapat perhatian banyak pihak. Tidak diketahui bagaimana kempen itu dimulakan tetapi ramai yang memuji insiatif itu sebagai cara untuk meminta bantuan.
Bagaimanapun, dua pemimpin kanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), iaitu Nik Abduh (Ahli Parlimen Bachok) dan Rosli Abdul Jabar (Pesuruhjaya PAS Pahang dan ADUN Tanjung Lumpur) berpandangan perbuatan mengangkat bendera putih itu seperti mengajar rakyat untuk mengaku kalah ketika berdepan dengan ujian Allah SWT.
Nik Abduh berkata, mereka yang sedang diuji sepatutnya menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT.
"Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih," tulisnya di Facebook.
Rosli Abdul Jabar berpendapat perbuatan mengangkat bendera putih bukanlah cara yang sesuai, sebaliknya ada cara lain yang lebih baik dan menjaga maruah untuk orang ramai meminta bantuan. Malah perbuatan itu katanya adalah langkah mengibarkan kekalahan.
"Saya tak setuju cadangan dinaikkan bendera putih untuk memaklumkan kita kehabisan makanan kerana ada yang akan mengambil kesempatan, memelihara maruah diri dan ummah. Kita masih ada cara yang lebih baik dan dapat menutup keaiban orang.
"Jangan angkat bendera putih macam orang kalah perang. Kita masih ada kekuatan. Kibarkan panji Islam dengan kibaran syiarnya Islam sebagai agama saling membantu," katanya.
Kenyataan dua pemimpin kanan PAS itu mengundang kecaman netizen yang menyifatkan mereka berdua bagaikan tidak memahami masalah golongan terjejas akibat PKP.
"Orang politik. Masa nak mengundi bukan main cari rakyat segala ceruk pendalaman. Dah menang dan dibagi amanah untuk memimpin, boleh buat tak tahu dengan rakyat. Masa inilah kau cari rakyat sampai segala ceruk tu. Orang dah angkat bendera putih, kau pula yang terasa. Ini tandanya korang sebagai pemimpin yang gagal teruk!" kata Chandra Husin.
"Pak lebai punya mentaliti, semua benda nak dikaitkan dengan Islam. Apa kena mengena kibar bendera putih dengan peperangan bagai. Sekarang ini zaman Covid-19, orang nak memudahkan rakyat mohon bantuan. Tengok ada bendera putih, kita salurkan bantuan. Dok kaitkan dengan perang bagai," kata Blackrose.
"Orang yang dapat elaun setiap bulan bersembang.. Kalau betul ADUN buat kerja, tak adanya rakyat sampai nak angkat bendera putih," kata Mohd Azli.
"Di saat ramai rakyat di bawah ini sedang menderita dan marah kepada kerajaan, sepatutnya masa inilah PAS bertungkus lumus untuk menarik balik mereka ini menyokong kerajaan dengan memberi pelbagai bantuan. Jangan keluarkan kenyataan yang bakal membuatkan rakyat semakin marah. Tiada hinanya angkat bendera putih ini. Kita bukan berperang, ini cuma inisiatif untuk mereka yang terkesan," kata mohd Dolralim.
Sumber: MalaysiaKini, FB Rosli Abdul Jabar
from The Reporter https://ift.tt/3h60eEB
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/3hgYoj7
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment