31 Mei 2021, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang dikatakan memasuki ruang udara ZMM, Kota kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional.
Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi di mana pesawat-pesawat tersebut terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika.
"Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara.
TUDM LANCAR PESAWAT PEMINTAS
"Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR dan seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.
"Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM. Pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut disamping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara KK FIR.
"Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan KK FIR menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1333H untuk melakukan identifikasi visual. Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi," kata kenyataan TUDM.
KERAJAAN MALAYSIA AKAN KELUARKAN NOTA BANTAHAN DIPLOMATIK
Susulan dari kejadian itu, Menteri Luar, Hishammuddin Hussein berkata, Wisma Putra akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik terhadap pencerobohan 16 pesawat China tersebut dan memanggil Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia untuk memberikan penjelasan.
PESAWAT TENTERA UDARA CHINA BEBAS TERBANG DI RUANG UDARA RELEVAN - JURUCAKAP KEDUTAAN CHINA
Bagaimanapun, jurucakap Kedutaan Besar China menjelaskan, 16 pesawat berkenaan hanya menjalani latihan dan tidak menyasarkan mana-mana negara.
"Setahu saya, aktiviti yang dilaporkan adalah latihan penerbangan Tentera Udara China secara rutin dan tidak mensasarkan mana-mana negara pun.
"Menurut undang-undang antarabangsa yang relevan, pesawat tentera China bebas melakukan lintas terbang di ruang udara yang relevan. Semasa latihan ini, pesawat tentera China mematuhi undang-undang antarabangsa yang berkenaan dan tidak memasuki ruang udara wilayah negara lain," katanya.
89 PENCEROBOHAN SEJAK 2016 - 2019
Difahamkan, kenyataan itu dikeluarkan sebelum Hishamuddin memanggal Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia untuk memberi penjelasan mengenai insiden pencerobohan tersebut.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 3, kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLAN) dilaporkan menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.
Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan nota bantahan diplomatik, namun negara yang mengamalkan sistem pemerintahan komunis itu langsung tidak menghiraukan nota bantahan tersebut.
Sumber: FB TUDM, MalaysiaKini
from The Reporter https://ift.tt/3pc7QHX
via IFTTT
from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/3g5S6SC
via IFTTT
0 comments:
Post a Comment