loading...

Sunday, 7 March 2021

'Saya yang bersalah' - Pelajar tampil mohon maaf, rayu netizen berhenti kecam owner motor yang tak tahu apa-apa


Beberapa hari yang lalu, viral di media sosial gambar dua pelajar sekolah yang dipercayai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru selesai menduduki peperiksaan menunggang motosikal dengan pakaian sekolah di bahagian belakang ditulis dengan kata-kata kesat terhadap guru.


Perbuatan tidak bermoral dua pelajar terbabit mengundang kemarahan netizen kerana perbuatan mereka itu sangat jelas menghina dan tidak menunjukkan rasa hormat terhadap guru mereka. 


Gambar itu turut menarik perhatian Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) yang mengecam perbuatan biadab dua pelajar terbabit. Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, "Tindakan itu menunjukkan sikap biadab, tidak bermoral dan mencerminkan generasi pelajar yang rosak nilai kerohanian. 


"Perbuatan pelajar menggunakan ungkapan kesat dan makian terhadap guru menunjukkan rasa tidak hormat selain menghina warga pendidik," katanya yang menggesa pihak sekolah mengambil tindakan terhadap dua pelajar terbabit. 


Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan juga dimaklumkan mengenai gambar tersebut yang dipercayai berlaku di Kota Bharu dan akan mengambil tindakan terhadap pemilik motosikal berkenaan atas kesalahan tidak memakai topi keledar sambil menconteng baju sekolah dengan tulisan mencarut terhadap guru. 


Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkaa, pihaknya akan mengeluarkan notis temu siasat terhadap pemilik motosikal mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


"Menunggang dan membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar adalah satu kesalahan. Mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan juga boleh dikenakan tindakan," katanya. 


Menyedari gambar itu viral, salah seorang pelajar terbabit tampil memohon maaf dan mengaku salah di atas perbuatannya yang biadab itu. 


"Saya mengaku salah secara terbuka atas kesalahan saya yang menulis perkataan mencarut guru di belakang baju sekolah. Motosikal yang saya tunggang juga bukan motosikal saya. 


"Pemilik motosikal adalah kawan kepada abang saya. Pemilik motosikal tidak bersalah, yang bersalah adalah saya," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook. 


Pemilik motosikal, Muhammad Afiq, 22, pula menjelaskan motosikalnya ditinggalkan di kampung untuk kemudahan adik-adiknya sementara dia bekerja di luar Kelantan. Afiq berkata, dia hanya menyedari motosikalnya viral di media sosial kelmarin dan pelajar itu adalah kawan kepada adiknya. 


"Sudah lima tahun saya meninggalkan alam persekolahan dan ramai yang keliru mengatakan saya yang menunggang motosikal itu sehingga gambar saya juga viral di Facebook. 


"Saya dimaklumkan oleh adik, kawannya mahu meminjam motosikal untuk ke sekolah kerana motosikalnya rosak. Jadi atas belas kasihan, adik saya pinjamkan motosikal berkenaan. 


"Cuma agak terkejut apabila viral dengan tulisan menghina guru di baju sekolahnya. Apa pun, saya mohon supaya orang ramai memadamkan gambar saya," katanya yang juga telah membuat laporan polis. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/3egBLLV
via IFTTT

from Cerita Terkini Sensasi Dan Tepat https://ift.tt/3v3n0Sj
via IFTTT

0 comments:

Post a Comment

loading...